Wednesday, 6 August 2025

PARANG LADING: SATU KAJIAN TIPOLOGI DAN PERBANDINGAN MORFOLOGI

Haji Muhammad Hanif bin Haji Hosainel Majidi1

1Nara Martial Arts Academy


 

ABSTRAK

 

Parang lading merupakan senjata orang Kedah sejak turun-temurun. Ia merupakan senjata para panglima Kedah yang direkodkan dalam Perang Musuh Bisik. Perkataan “lading” telah direkodkan di dalam kamus Melayu-Belanda-Perancis sejak abad ke-17 lagi. Selain daripada senjata, ia juga turut digunakan bagi tujuan perladangan dan pertukangan. Di Kedah, parang lading merujuk kepada sejenis parang yang mempunyai pangkal bilah yang tebal berbentuk segitiga atau “pelepah kelapa”. Bilahnya tirus di pangkal dan kembang ke hujung dalam bentuk “daun palas” dan mempunyai lentik yang dikenali diantaranya sebagai “pelepah pisang” atau “patah kepak”. Kajian ini cuba mengklasifikasikan parang lading dari segi tipologi dengan menumpukan kepada bentuk bilah dan juga hulu. Perbezaan ini juga menjadi identiti unik dan menggambarkan kepelbagaian fungsi setiap jenis parang lading. Hulunya biasanya diperbuat daripada tanduk kerbau atau kayu dan berbentuk tapak kijang atau tapak kuda. Selain daripada itu, perbandingan dengan lading yang didapati di Sumatera Barat dan beberapa contoh parang lain yang turut dipanggil “lading” atau berbentuk seakan-akan lading turut akan disentuh untuk membezakan lading Kedah dengan lading daripada daerah yang lain.

 

 

Kata kunci: Kedah; lading; parang; silat

 

1.    PENGENALAN

Parang lading merupakan senjata tradisi orang Kedah yang telah digunakan sejak sebelum Perang Musuh Bisik (1821-1842). Spesimen-spesimen parang lading yang antik masih boleh didapati dalam koleksi muzium dan juga peribadi. Selain daripada senjata, parang lading turut digunakan dalam pertanian dan pertukangan. Tujuan kajian ini adalah untuk mendokumentasikan jenis-jenis parang lading dan juga berbezaan morfologinya berbanding dengan parang-parang lain seperti kelewang Kelantan dan parang ilang Sarawak. Terdapat juga parang latok di Sarawak yang mirip kepada lading patah kepak.

Secara amnya, parang lading mempunyai bilah yang tirus di pangkal dan melebar ke hujung. Bentuk ini dikenali sebagai “daun palas”. Bentuknya yang unik dengan bilah yang berat ke hujung menjadikannya alat menebas dan menetak yang amat berkesan. Dalam persilatan, parang lading turut digunakan untuk menghiris. Bentuk bilahnya yang melengkung dan melebar ke hujung memberikan momentum yang lebih untuk menebas dan menetak. Namun begitu, morfologinya yang unik merupakan satu cabaran kepada tukang besi untuk menghasilkannya secara komersil suatu masa dahulu. Pangkal bilah parang lading mempunyai keratan rentas berbentuk segitiga yang dikenali sebagai “pelepah nyior”. Lentik atau lengkungan bilah parang lading mempunyai variasi yang tinggi. Ada yang hampir lurus, manakala ada juga yang mempunyai lentik yang agak ekstrim. Bentuk lentik ini dikenali dengan nama-nama seperti “pelepah pisang” dan “patah kepak”. Hulu parang lading pula biasanya diperbuat daripada tanduk kerbau kerana tanduk kerbau merupakan bahan yang agak liat dan tahan hentakan. Ada juga pihak yang menyatakan bahawa hulu tanduk kerbau juga kurang licin jika terkena darah berbanding dengan kayu.

 

2.    METODOLOGI

Kajian ini mengambil pendekatan menggunakan pelbagai sumber seperti sumber lisan, penulisan dan artifak.

 

2.1.  Sumber lisan

Sumber lisan terdiri daripada responden-responden yang mempunyai koleksi parang lading, tukang besi yang membuat parang lading dan juga pengamal persilatan yang menggunakan parang lading sebagai senjata di dalam aliran persilatan mereka. Sumber lisan merupakan sumber utama untuk kajian ini.

 

2.2.  Sumber bertulis

Sumber bertulis untuk kajian ini tidak banyak. Sumber bertulis utama terdiri daripada buku-buku lama dan juga bahan bercetak yang dihasilkan oleh Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia. Sumber dalam talian juga kurang didapati.

 

2.3.  Sumber artifak atau fizikal

Sumber artifak atau fizikal terdiri daripada parang lading antik yang disimpan oleh individu-individu tertentu sebagai koleksi atau pusaka. Contoh-contoh di muzium juga turut digunakan. Selain daripada itu, beberapa bilah contoh lading yang baru dibuat juga dijadikan sumber kajian tipologi. Kajian morfologi pula dibuat berdasarkan specimen-spesimen yang didapati daripada individu, muzium dan juga sumber-sumber dalam talian.

 

3.    KEPUTUSAN DAN PERBINCANGAN

Parang lading hampir pupus sehinggalah sekitar tahun 1970an di mana Pengasas dan Guru Utama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, almarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad telah menjadikannya sebagai senjata rasmi Seni Silat Cekak. Ustaz Hanafi juga telah memperkenalkan parang lading ketika Konvensyen Silat Melayu di USM Pulau Pinang pada bulan Julai 1973. Sejak daripada itu, parang lading sering dianggap sebagai senjata pengamal Silat Cekak. Tindakan beliau secara tidak langsung telah menghidupkan semula pembuatan parang lading di Kedah. Sekitar tahun 2018, pembuatan parang lading semakin mendapat permintaan daripada pengamal persilatan dan peminat senjata tradisional.

Namun begitu, tidak bermakna parang lading ini hanya wujud sekitar tahun 1970an sahaja. Keberadaan specimen-spesimen lama yang boleh ditentukan daripada lewat abad ke-18 dan awal abad ke-19 menunjukkan bahawa parang lading ini sudah wujud sekian lama. Penggunaan lading di dalam persilatan Melayu juga menunjukkan bahawa ia sememangnya sebahagian daripada peradaban Melayu. Silat Cekak bukanlah satu-satunya seni silat yang menggunakan parang lading sebagai senjata. Seni Silat Gayong Harimau dan Seni Silat Gayong Harimau Hitam merupakan antara silat Melayu yang menggunakan parang lading sebagai senjata.

Selain daripada Kedah, parang lading turut dijumpai di Acheh dan daerah Minangkabau. Di Acheh, ia dikenali sebagai lading Acheh atau roedoes lentik. Di Minangkabau pula, ia dikenali dengan nama ladieng, dan parang lading yang paling mirip kepada lading Kedah dipanggil ladieng puntuang. Selain daripada itu, kelewang di Kelantan juga mempunyai morfologi yang hampir dengan lading. Parang ilang di Sarawak juga mempunyai profil bilah yang serupa tetapi pangkal bilahnya berbeza. Satu jenis lagi lading yang terdapat di Semenanjung Malaysia dikenali dengan nama lading Banjar. Perbandingan morfologi adalah penting untuk mengelakkan kekeliruan antara parang lading Kedah dan parang lading dari daerah lain atau parang yang seakan-akan lading.

Rekod bergambar terawal yang dijumpai setakat ini bertarikh 1908 yang memaparkan sebilah parang lading yang mempunyai rambu di hulunya. Lading turut disebut di dalam hikayat Pelayaran Abdullah ke Kelantan, Syair Hemop serta Hikayat Banjar dan Kota Waringin. Sebilah parang lading turut dipaparkan di dalam buku Rupa dan Jiwa. Selain daripada itu, sumber rujukan utama ialah daripada bahan-bahan bercetak yang dihasilkan oleh Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia. Spesimen parang lading turut dipamerkan di Muzium Negara dan Muzium Negeri Kedah.

Hasil daripada kajian ini, dua gambarajah tipologi dan morfologi parang lading telah dapat dipaparkan.



Gambarajah 1. Tipologi parang lading Kedah

Gambarajah tipologi ini dihasilkan daripada pemerhatian terhadap specimen-spesimen fizikal dan juga gambar-gambar yang telah ditemui. Ia menunjukkan variasi di antara jenis-jenis parang lading Kedah yang mungkin mewakili identiti tertentu dan mempunyai fungsi yang berbeza.


Gambarajah 2. Morfologi parang lading dan parang-parang lain yang serupa

Gambarajah morfologi ini boleh digunakan untuk membezakan parang lading Kedah dengan jenis-jenis parang lain yang mempunyai nama atau bentuk yang serupa.

 

3.1.  Perbincangan

Kajian ini merupakan kajian asas yang hanya menyentuh aspek fizikal parang lading. Tujuan utama kajian ini adalah untuk mendapatkan gambaran asas mengenai ciri-ciri khusus parang lading supaya satu sistem pengecaman boleh dirangka dan digunakan untuk mengenalpasti serta membezakan parang lading Kedah dengan parang lading lain dan juga jenis-jenis parang yang serupa. Satu lagi cabaran di dalam melaksanakan kajian ini ialah kekurangan sumber bertulis.

Pengkaji terpaksa mendokumentasikan maklumat lisan daripada responden-responden untuk dijadikan rujukan bertulis bagi kajian akan datang. Kebanyakan sumber lisan hanya dapat memberikan maklumat berkaitan morfologi lading dan sedikit latar belakang mengenai spesimen tersebut. Sumber persilatan pula lebih menumpukan kepada kaedah pertempuran dan seni permainan parang lading.

Kekurangan sampel fizikal juga menjadi satu cabaran kerana kebanyakan spesimen yang dijumpai sama ada specimen antik atau spesimen yang ditempa selepas tahun 1970an. Terdapat jarak masa lebih kurang seratus tahun di antara dua kategori spesimen tersebut.

 

4.    KESIMPULAN

 Kajian mengenai parang lading ini boleh diperluaskan lagi dengan mengkaji etimologi perkataan “lading”, falsafah di sebalik rekabentuk dan juga penggunaan lading, kajian struktur mikro dan metalurgi, kaitan lading dengan sejarah peradaban Kedah serta penggunaan lading dalam konteks persilatan.

 

PENGHARGAAN

Penulis ingin merakamkan penghargaan kepada Nara Martial Arts Academy, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, para responden dan juga individu-individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung di dalam menjayakan kajian ini.

 

RUJUKAN

Hill, A. H. (1956). The Kěris and other Malay Weapons. Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society.

Jabbar, S., Bakar, N. A. A., Baharom, N., & Jasmani, F. (Eds.). (2021). Kamus Dewan Perdana (3rd Edition). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jamal, S. A. (2010). Rupa & Jiwa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Malaysia, P. S. S. C. (2014). Istiadat Sembah Junjung Kasih Parang Lading.

Malaysia, P. S. S. C. (2015). Jubli Emas Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (1965-2015).

Marsden, W., & Elout, C. P. J. (1825). Dictionnaire Malai, Hollandais et Francais = Maleisch, Nederdutitsch en Fransch woordenboek.

Muhammad Hanif, H. M. (2021, September). Pedang, Sundang dan Parang: Persamaan dan Perbezaan. Dewan Budaya, 44–47.

Wright, A. (Ed.). (1908). 20th Century Impressions of British Malaya: Its history, people, commerce, industries and resources. London: Lloyd’s Greater Britain Publishing Company, Ltd.

Malay Concordance Project. Australian National University. Retrieved September 12, 2024. https://mcp.anu.edu.au/cgi-bin/tapis.pl


Kertas kerja ini telah dibentangkan di i-STET USIM pada 16 Oktober 2024.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa 2025

  Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa 2025 akan menjadi titik pertemuan bersejarah antara dunia persilatan dan dunia akademik. Pada b...