Pedang merupakan senjata khusus yang telah dicipta untuk fungsi yang spesifik. Ia bukanlah berasal daripada alat pertanian atau serbaguna yang diubahsuai untuk kegunaan sebagai senjata. Daripada awal penciptaannya, pedang direkabentuk sebagai senjata. Di dalam Alam Melayu, pedang sebenarnya memainkan peranan penting dalam sistem sosio-budaya Melayu. Namun begitu, keris telah diangkat sebagai lambang kedaulatan Bangsa Melayu itu kerana keris merupakan satu senjata yang unik kepada Bangsa Melayu.
Berbanding keris, pedang adalah senjata tempur yang khusus digunakan ketika peperangan dan pertempuran yang melibatkan ramai musuh. Ia juga digunakan untuk menjalankan hukuman seperti hukuman pancung terhadap mereka yang melakukan kesalahan besar seperti derhaka kepada Raja dan mengkhianati Kerajaan. Di dalam Islam pula, hukuman mati dilaksanakan melalui kaedah pancung dengan menggunakan pedang. Ia merupakan senjata yang agak versatile, tetapi memerlukan kemahiran yang tinggi untuk mengendalikannya dengan baik.
Pedang merupakan senjata utama yang sering digunakan di dalam peperangan terbuka, khususnya di kawasan lapang dan bagi pasukan berkuda. Selain pedang, lembing dan tombak juga digunakan. Pedang bukan sekadar senjata perang, tetapi juga merupakan sunnah Rasulullah SalAllah 'Alaihi Wasallam. Di dalam sebuah hadis, Rasulullah berpesan, "Ajarilah anak-anak kamu memanah, bermain pedang dan berkuda". Ini adalah kerana jika dikaji secara terperinci, bermain pedang merupakan satu aktiviti yang memerlukan kemahiran psikomotor dan kinestetik. Ia juga memerlukan tindakan refleks yang pantas dan konsentrasi yang tinggi.
Di dalam Alam Melayu, terdapat pelbagai bentuk pedang yang dicipta mengikut gaya permainan yang tertentu. Pedang Melayu biasanya mempunyai mata yang kurang daripada 30 inci panjang. Saiz ini adalah bersesuaian dengan susuk tubuh orang Melayu. Ini juga kerana senjata Melayu biasanya akan diukur mengikut kesesuaian pemakainya. Satu lagi faktor yang menentukan saiz pedang ini ialah kaedah persilatan yang berkait rapat dengan rekabentuk senjata Melayu.
Silat adalah nama yang merujuk kepada sistem beladiri yang khusus bagi Bangsa Melayu. Terdapat pelbagai bentuk silat di Alam Melayu ini, dan kepelbagaian ini juga mempengaruhi rekabentuk senjata seperti pedang, parang, keris dan sebagainya. Di antara jenis pedang Melayu termasuklah pedang jenawi, pedang chunderik, pedang cenangkas, sundang, sikin, pedang anak buaya, pedang Melayu, syamsir dan tulwar. Pedang juga disebut sebagai "klewang" di Indonesia.
Seni pedang Melayu merupakan satu seni yang kian hilang kerana permainannya pernah dihadkan kepada golongan istana dan kerabat diraja. Kemahiran bermain pedang ini memerlukan masa dan ketekunan untuk mencapai tahap kecekapan yang tinggi. Mungkin kerana itu juga, permainannya terhad di kalangan golongan bangsawan yang mempunyai masa untuk berlatih berbanding dengan rakyat biasa yang mempunyai banyak tugasan harian. Harga sebilah pedang juga merupakan satu faktor. Jika seekor lembu atau kerbau merupakan mahar untuk memperolehi sebilah keris yang baik, bayangkan apa yang perlu dibayar untuk menempa sebilah pedang?
Pedang berbeza dengan parang kerana ianya merupakan senjata dan bukan alat pelbagai guna. Sesetengah parang telah terevolusi untuk menjadi senjata sepenuhnya tetapi ianya tetap berasal daripada alat pertanian. Mata parang biasanya adalah lebih berat berbanding dengan mata pedang kerana fungsinya untuk menebas dan menebang. Pedang pula direkabentuk untuk memotong dan menghiris serta menikam tubuh manusia. Seni permainan pedang pula sebenarnya tidak menggalakkan perlagaan mata pedang kerana ini boleh merosakkan mata pedang itu dan mengurangkan keberkesanannya sebagai senjata.
![]() |
Beberapa bilah chunderik dan sundang Melayu |
![]() |
Pedang chunderik dengan mata yang agak panjang |
![]() |
Pedang syamsir dan kilij dari Turki, ada yang digunakan di Alam Melayu |
![]() |
Pedang atau sundang yang digunakan untuk membunuh residen British, JWW Birch di Pasir Salak |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.