Allahuakbar... maafkan saya para pembaca sekalian, hampir sebulan tak menulis dalam blog ni... Agak sibuk kebelakangan ini dengan beberapa tugasan yang perlu diselesaikan. Di kesempatan ini izinkan penulis untuk bercerita sedikit mengenai Seni Pedang Sukma Kencana.
Apakah itu Seni Pedang Sukma Kencana? Seni Pedang Sukma Kencana berasal daripada seni beladiri yang diwarisi oleh keturunan Sheikh Abdul Latif Al-Khalidi Talu, yang digarap semula sistem pelajarannya dengan kajian, pengalaman dan ilham untuk membentuk satu sistem yang mudah difahami dan dipelajari oleh Tuan Nara Paduka Hj Muhammad, generasi ke-5 Sheikh Abdul Latif Al-Khalidi. Sukma Kencana berteraskan permainan pedang Melayu berdasarkan kaedah-kaedah yang diasaskan daripada gerakan yang sesuai dan semulajadi kepada gerakan tubuh badan manusia.
Rasulullah SalAllah 'Alaihi Wasallam juga menganjurkan umat Islam supaya memanah, bermain pedang, berenang dan menunggang kuda. Aktiviti bermain pedang ini merupakan salah satu sunnah baginda. Para sahabat juga merupakan pemain pedang yang hebat. Aktiviti berpedang ini merupakan satu latihan kinestetik dan juga terapi psikomotor yang menggalakkan kordinasi minda dan anggota seperti tangan dan kaki. Selain daripada itu, kaedah-kaedah Sukma Kencana yang menekankan teknik dan bukan kekuatan fizikal semata-mata juga membuatkannya sesuai untuk semua lapisan umur tidak mengira sama ada lelaki atau wanita.
Logo Seni Sukma Kencana berbentuk bunga teratai yang sering dikaitkan dengan fahaman Tauhid dalam seni Melayu, dengan tulisan Muhammad timbal-balik yang melambangkan asuhan Rohani dan Jasmani. Keris di bahagian tengah logo bermaksud Seni ini adalah Seni Melayu dan mendaulatkan Bangsa Melayu, dan dua bilah pedang yang bersilang adalah senjata rasmi Seni Sukma Kencana. Warna-warna yang digunakan, merah melambangkan keberanian dan kepahlawanan, warna putih melambangkan kesucian, warna hijau melambangkan Agama Islam, hitam melambangkan jihad perjuangan dan biru gelap melambangkan keTuhanan.
Senjata yang digunakan di dalam Seni Pedang Sukma Kencana adalah unik kepada seni pedang ini, dan direka khas untuk disesuaikan dengan teknik yang digunakan di dalam Sukma Kencana. Ia juga ditempa mengikut ukuran pemakainya. Teknik Sukma Kencana menekankan pertahanan, bersesuaian dengan kaedah peperangan yang dianjurkan Rasulullah SalAllah 'Alaihi Wasallam.
Sistem pelajaran Seni Pedang Sukma Kencana bermula dengan kaedah-kaedah asas seperti Asas 8, Tapak 2, Tapak 4 untuk membiasakan penuntut dengan pengendalian pedang Sukma Kencana. Penuntut kemudiannya akan diajarkan cara menanti serangan dan kaedah Ahmad iaitu kaedah tangkisan asas di dalam Seni Pedang Sukma Kencana. Seterusnya ialah peringkat Umar I, iaitu 11 buah matapelajaran yang perlu dipelajari oleh penuntut, diikuti dengan peringkat Umar II, di mana 11 buah matapelajaran ini akan dirangkaikan untuk membentuk satu sequence pergerakan untuk menangkis serangan dari pelbagai arah.
Penuntut akan menamatkan sistem pelajaran Seni Pedang Sukma Kencana pada tahap Umar II, dan akan memasuki peringkat Kemahiran di mana penuntut yang sebelum ini berlatih dengan pedang latihan kayu (bokken) akan dibenarkan menggunakan pedang latihan yang diperbuat daripada besi.Di dalam peringkat kemahiran ini juga penuntut akan melakukan latihan sparring dan juga cara menggunakan perisai (shield).
Sistem pelajarannya disusun secara sistematik dan penuntut akan diuji dari segi kemahiran mereka mengendalikan pedang dengan teknik yang betul. Mereka yang lulus ujian akan dianugerahkan sijil bagi mengiktiraf pencapaian mereka.
Bagi pihak yang berminat untuk belajar Seni Pedang Sukma Kencana, bolehlah hubungi pihak persatuan di email
sukmakencana313@gmail.com
atau hantarkan pm ke page Facebook Seni Sukma Kencana @senisukmakencana. Syarat-syarat penyertaan adalah sihat tubuh badan, berusia 10 tahun ke atas dan beragama Islam. Sekian dahulu buat kali ini, sehingga bertemu di lain masa.
Wassalam...
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.