Friday, 25 May 2018

Seni Sukma Kencana

Assalamulaikum and may peace be upon you... alhamdu Lillah kita sudah berada di 1/3 Ramadhan 1439H. Ingin saya maklumkan di sini bahawa bulan Ramadhan ini juga sebenarnya telah menjadi saksi kelahiran seni pedang yang kini dikenali sebagai Seni Sukma Kencana. Kisah lisan yang disampaikan dari generasi ke generasi menceritakan bagaimana seni ini telah dibawa oleh pewarisnya yang berketurunan Melayu daripada Tanah Arab pulang ke Tanah Melayu seterusnya diwarisi pula oleh keturunan yang menjadi da'ie menyebarkan Agama Allah di Nusantara ini.

Dikhabarkan seni pedang ini adalah warisan daripada Sheikh Abdul Latif Al-Khalidi dan anakanda beliau Haji Muhammad Salleh Sheikh Abdul Latif. Pada mulanya ianya tidak tersebar secara meluas. Hanya digunakan ketika waktu darurat dan kecemasan. Sistem pembelajarannya ringkas dan dapat dipelajari dalam masa yang singkat. Seni permainan pedang ini terpendam di dalam keluarga keturunan Sheikh Abdul Latif sehinggalah generasi kelima Sheikh Abdul Latif iaitu Nara Paduka Haji Muhammad mengambil inisiatif untuk merangka semula sistem permainan pedang ini dan menamakannya Seni Sukma Kencana pada tahun 2018M bersamaan 1439H.

Permainan pedang ini terbahagi kepada dua bahagian yang berasal dari dua penanti serangan yang berbeza iaitu menanti serangan dengan pedang terhunus (Penanti Hamzah Satu) dan menanti serangan dengan pedang masih tersarung (Penanti Hamzah Dua). Penuntut akan mula diajar asas permainan pedang ini daripada Penanti Hamzah Satu. Dari situ, terbitlah Kaedah Ahmad (alif, ha, mim, dal) yang merupakan 4 tangkisan asas dalam Seni Sukma Kencana. Kaedah Ahmad seterusnya akan dikembangkan kepada 11 buah yang dikenali sebagai peringkat Umar I.

Seterusnya para penuntut akan belajar Penanti Hamzah Dua di mana mereka akan menangkis serangan daripada keadaan pedang masih di dalam sarungnya. Di dalam Penanti Hamzah Dua, para penuntut akan belajar untuk membiasakan diri (familiarise) dengan senjata masing-masing iaitu pedang Jenawi Sukma. Daripada Penanti Hamzah Dua ini terbit peringkat yang dipanggil Umar II. Peringkat ini turut melibatkan gabungan daripada matapelajaran dalam Umar I.

Setelah tamat mempelajari peringkat Umar II maka penuntut dianggap sudah memenuhi syarat mempelajari sistem pelajaran Seni Sukma Kencana. Mereka yang ingin melanjutkan pembelajaran boleh meneruskan latihan ke peringkat Uthman, iaitu permainan pedang berperisai. Mereka yang menamatkan peringkat Uthman boleh menjadi tenaga pengajar Seni Sukma Kencana dengan izin dan tauliah Majlis Perguruan.

Begitulah sedikit sebanyak mengenai sistem Seni Sukma Kencana, seni pemainan pedang Melayu warisan Sheikh Abdul Latif Al-Khalidi.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa 2025

  Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa 2025 akan menjadi titik pertemuan bersejarah antara dunia persilatan dan dunia akademik. Pada b...