Definisi pedang
Alam Melayu mempunyai kepelbagaian jenis senjata yang amat tinggi. Hampir setiap daerah mempunyai senjata yang unik kepada masyarakat setempat. Penggunaan istilah untuk setiap jenis senjata juga adalah berbeza mengikut lokaliti. Sebagai contoh, kelewang di Kelantan adalah sejenis parang manakala perkataan yang sama di Jawa merujuk kepada pedang. Salah satu objektif kertas kerja ini adalah untuk cuba memberi definisi kepada senjata yang dikenali sebagai pedang dan membezakan pedang dengan senjata tajam berbilah panjang yang lain.
Bagi tujuan kajian ini, klasifikasi pedang akan dibincangkan dengan menggunakan tiga aspek iaitu:
a.Tipologi
b.Saintifik (fizik, kejuruteraan bahan, kimia)
c.Seni Permainan
Tiga aspek ini akan dibahagikan kepada 7 bahagian, iaitu:
a.Rekabentuk Bilah
b.Panjang Bilah
c.Rekabentuk Hulu
d.Titik Perkusi dan Titik Imbangan
e.Jisim
f.Teknik Pembuatan (metallurgy)
g.Teknik Penggunaan dan Aplikasi
Tipologi
Tipologi ialah kajian dan klasifikasi sesuatu objek mengikut rekabentuk dan ciri-ciri fizikalnya. Bagi sebilah pedang, rekabentuk bilah, panjang bilah dan rekabentuk hulu merupakan ciri-ciri utama yang dapat membezakan satu jenis pedang dengan jenis pedang yang lain.
Rekabentuk bilah
Rekabentuk bilah pedang pada amnya adalah menirus ke hujung mata pedang. Bilahnya mungkin lurus atau melengkung dan mungkin mempunyai satu atau dua belah mata yang tajam. Pada dasarnya sebilah pedang perlu boleh memotong dan menikam dengan baik. Oleh itu, mata pedang biasanya direkabentuk untuk memudahkan kedua aksi ini. Pedang ibarat kombinasi antara parang yang digunakan untuk menetak dan keris yang digunakan untuk menikam. Bilah pedang biasanya adalah agak nipis jika dibandingkan dengan parang kerana perbezaan kaedah penggunaan senjata-senjata ini. Bilah pedang Melayu juga ada yang mempunyai alur atau fuller yang dibuat untuk mengurangkan jisim mata pedang tanpa menjejaskan integriti mata pedang tersebut. Hasilnya ialah mata pedang yang ringan tetapi kuat dan mampu menangkis senjata musuh. Ada juga bilah pedang yang menggunakan kaedah hollow grind untuk mencapai kesan yang sama. Pedang yang berkualiti juga mempunyai distal taper di mana bahagian pangkal bilah pedang adalah lebih tebal daripada bahagian hujungnya jika dilihat dari keratan rentas bilah tersebut.
Bahagian pucuk bilah biasanya mempunyai tiga bentuk iaitu bentuk mata lembing atau spear point, turun ke bawah (downward-swept) atau naik ke atas (upward-swept). Rekabentuk yang paling kerap dijumpai ialah pucuk yang naik ke atas atau upward-swept. Ada juga yang mempunyai pucuk bulah yang tidak tajam atau bulat. Terdapat satu rekabentuk yang unik dikenali dengan nama anak buaya atau buaya berenang yang mana sehingga 1/3 bahagian hujung bilah pedang itu lebih lebar daripada bahagian pangkalnya, memberikan bentuk seakan-akan kepala buaya yang sedang berenang. Rekabentuk ini juga terdapat pada sesetengah pedang talwar dari India dan kilij dari Turki. Ia bertujuan untuk memberikan inersia yang lebih ketika memotong. Ada kalanya bahagian belakang mata yang lebar ini juga diasah tajam untuk membolehkan libasan balik dilakukan. Mata pedang yang tirus ke hujung membolehkan tikaman dilakukan dengan mudah dan efektif. Bilah yang agak nipis juga memberikan ketajaman mata yang penting untuk memotong dan menghiris. Bahagian belakang pedang biasanya adalah lebih tebal dan digunakan untuk menangkis serangan senjata lawan.
Bilah pedang juga sering diukir dengan motif-motif tertentu seperti huruf-huruf jawi dan nombor-nombor (wafak), ayat-ayat suci Al-Qur’an, gambar-gambar makhluk dan haiwan serta motif awan larat dan sulur bayung. Ada kalanya ukiran-ukiran ini turut disalut dengan emas, perak atau tembaga. Ukiran-ukiran ini mungkin ukiran timbul (relief) atau ukiran tenggelam (intaglio ) yang dibuat dengan teknik chiselling atau etching. Ukiran-ukiran ini bukan sahaja menambahkan nilai estetik kepada bilah pedang tersebut, malah mempunyai makna yang tertentu bagi pemiliknya.
Panjang bilah
Panjang bilah pedang Melayu biasanya adalah di antara 24-30 inci. Terdapat istilah “selengan”, “selilit kepala” dan sebagainya yang menunjukkan kaedah yang digunakan untuk mengukur bilah mata pedang. Ini adalah kerana kebanyakan senjata Melayu dibuat mengikut ukuran-ukuran tertentu yang dipadankan dengan fizikal pemakainya. Terdapat juga senjata yang menyerupai pedang yang mempunyai panjang lebih daripada 30 inci tetapi biasanya senjata begini dikenali dengan nama parang panjang dan seni permainannya adalah berbeza dengan permainan pedang. Parang panjang adalah sejenis field sword seperti nodachi Jepun atau zweihander Eropah. Senjata yang mempunyai bilah yang kurang daripada 24 inci biasanya dipanggil sebagai golok. Terdapat juga sejenis pedang pendek yang dikenali sebagai sundang Melayu yang mempunyai panjang mata lebih kurang 18 ke 21 inci, berbentuk seperti chunderik atau pedang Makara yang pendek.
Rekabentuk hulu
Pedang Melayu mempunyai kepelbagaian rekabentuk hulu yang tinggi. Pada amnya, terdapat pedang yang digenggam dengan satu tangan dan juga dua tangan. Pedang jenawi mempunyai hulu yang panjang dan boleh digenggam dengan menggunakan dua tangan. Pedang-pedang lain biasanya mempunyai hulu yang lebih pendek yang boleh digenggam dengan sebelah tangan. Bahagian hujung hulu ini biasanya mempunyai ukiran yang halus yang menggambarkan motif tumbuhan atau figura atau corak abstrak. Salah satu motif yang popular ialah motif “Makara” dengan pelbagai variasi, yang membezakan taraf dan status pemakainya. Biasanya pedang Melayu tidak mempunyai pelindung tangan atau guard kerana ini akan mengganggu keseimbangan senjata tersebut. Pedang jenawi mempunyai pelindung tangan asas berbentuk ceper bulat atau empat segi.
Terdapat juga jenis pedang yang dipanggil sebagai “pedang Melayu” atau pedang perisai yang mempunyai pelindung tangan yang dikenali sebagai “D-guard” atau knuckle bow yang ringkas. Bahagian hadapan knuckle bow ini biasanya dibengkokkan ke hadapan untuk menangkis dan menangkap senjata lawan. Sesetangah knuckle bow dibuat agak berbucu supaya boleh digunakan sebagai buku lima. Namun, rekabentuk knuckle bow ini adalah ringkas, bukan seperti pedang barat yang mempunyai pelindung tangan yang lebih kompleks, bersesuaian dengan kaedah permainan pedang mereka. Berdasarkan pemerhatian, knuckle bow seperti ini telah muncul di beberapa kawasan di benua Asia pada masa yang hampir sama.
Hulu pedang Melayu biasanya dipebuat daripada kayu berukir dan ada kalanya disalut dengan logam. Bahan lain yang biasa digunakan adalah tanduk, gading, tulang dan gigi. Kebanyakan hulu pedang Melayu mempunyai temi daripada logam atau bahan lain yang sesuai. Ada juga hulu pedang Melayu yang diperbuat daripada logam. Sesetengah hulu pedang Melayu diikat dengan simpai rotan atau logam. Ada yang dibalut dengan kulit atau fabrik untuk memberi keselesaan kepada pemakainya dan juga untuk menghalang daripada hulu tersebut menjadi licin ketika digunakan. Pedang perisai/pedang Melayu yang mempunyai knuckle bow dan kebanyakan pedang jenawi menggunakan kaedah rat-tailed tang di mana puting mata pedang itu dibentuk sehingga melebihi hujung hulunya dan alur dibuat untuk memasang nat kepada hujung puting tersebut bagi mengemaskan kedudukan mata pedang. Pedang-pedang jenis lain mempunyai puting sekitar 3-4 inci yang digam ke dalam hulu pedang.
Aspek Saintifik
Pembuatan sebilah pedang bukan semata-mata seni, ia juga bergantung kepada beberapa konsep saintifik yang berkait rapat dengan fizik, kejuruteraan bahan dan kimia. Di sini diterangkan secara ringkas beberapa konsep tersebut.
Titik perkusi dan titik imbangan
Titik perkusi atau point of percussion adalah kawasan di mana gegaran paling kurang berlaku ketika bilah pedang mengenai sasarannya. Kawasan ini adalah kawasan yang paling ideal untuk membuat potongan yang baik dan mudah. Titik imbangan atau point of balance pula merupakan titik di mana mata pedang mengimbangi hulunya. Titik ini penting di dalam menentukan kebolehgerakan (manoeuverability) pedang tersebut.
Titik perkusi sebilah pedang biasanya berada sekitar hujung 1/3 bilah pedang tersebut. Titik perkusi sebilah parang biasanya lebih ke hujung bilah mata kerana mata parang adalah lebih berat ke sebelah hujungnya. Titik perkusi sebilah keris pula biasanya berada di tengah-tengah bilah matanya.
Titik imbangan sebilah pedang yang ideal biasanya berada dalam sekitar 4-5 inci daripada hulunya. Jika titik ini terlalu dekat dengan hulu pedang, maka pedang itu akan kekurangan daya memotong. Titik imbangan sebilah keris berada betul-betul di antara mata dan hulunya, di bahagian pendongkok keris. Ini menjadikan keris senjata menikam yang ideal. Titik imbangan sebilah parang pula berada lebih jauh daripada hulunya kerana parang lebih sesuai digunakan untuk menetak dan ia memerlukan mata yang lebih berat dan tebal untuk melakukan pelbagai tugas.
Jisim
Jisim pedang Melayu biasanya adalah kurang daripada 1.5 kg. Ini adalah untuk memudahkan penggunaannya dan meningkatkan kepantasan dan ketangkasan pedang tersebut. Pedang yang mempunyai jisim lebih dari 2 kg akan menjadi terlalu berat untuk digunakan dengan berkesan, khususnya jika pertempuran tersebut berlaku dalam jangkamasa yang lama. Terdapat juga pedang yang mempunyai jisim 4-6 kg tetapi ini adalah kes yang terasing. Pedang-pedang seperti ini dibuat khas untuk pemiliknya yang biasanya mempunyai teknik tersendiri untuk menggunakannya. Biasanya pedang yang mempunyai jisim lebih dari 2 kg ini dibuat khas untuk menetak dan mengambil kesempatan jisim yang lebih itu untuk memberikan kecederaan yang lebih kepada sasarannya. Pedang anak buaya yang mempunyai bilah yang agak tebal dan berat juga biasa dipanggil “parang panjang” dan kaedah penggunaannya lebih mirip kepada kaedah tempur parang daripada seni permainan pedang. Namun begitu, terdapat juga pedang anak buaya yang mempunyai bilah yang agak nipis, bergantung kepada fungsinya.
Teknik pembuatan
Teknik pembuatan bilah pedang menyerupai teknik yang digunakan untuk membuat keris. Besi yang digunakan terdiri daripada campuran beberapa jenis besi yang dapat menghasilkan pamur. “Besi” di sini merujuk kepada campuran logam ferum dengan karbon dan logam-logam lain dalam peratusan yang kecil. Terdapat pedang yang mempunyai teras daripada besi baja (high carbon steel) yang amat keras dan tajam, diapit dengan besi pamur (pattern-welded steel) yang lebih lembut dan kenyal. Besi baja yang terlalu tinggi kandungan karbon akan menghasilkan bilah mata pedang yang rapuh manakala besi yang terlalu sedikit kandungan karbon pula lebih lembut dan tidak dapat mengekalkan ketajamannya. Ada juga pedang yang dihasilkan dengan besi baja semata-mata tetapi teknik sepuhan dan heat treatment yang tertentu menghasilkan mata pedang yang tajam tetapi tidak rapuh. Selain daripada itu, terdapat juga bilah pedang yang diperbuat daripada besi pamur. Parang pula biasanya diperbuat daripada besi baja yang tebal untuk menghasilkan bilah yang tajam tetapi tahan lasak, boleh digunakan untuk pelbagai tugas tetapi agak berat untuk digunakan sebagai senjata. Kaedah pembuatan pedang ini juga menyumbang kepada kosnya yang jauh lebih tinggi berbanding dengan parang.
Satu lagi ciri unik yang menentukan identiti sebilah pedang ialah sarungnya. Sarung pedang dibuat untuk memelihara ketajaman bilah pedang itu. Di dalam seni perang Melayu, sarung senjata juga boleh digunakan sebagai senjata dan perisai. Sarung pedang Melayu biasanya diperbuat daripada kayu keras dan ada kalanya berukir. Sesetengah sarung pedang diikat dengan simpai logam dan dipasangkan tapak logam. Ada juga sarung pedang yang berukir pada bahagian mulut sarungnya seperti sarung tumbuk lada atau badik. Sebilah senjata itu tidak boleh dikatakan sebagai pedang jika ianya tidak mempunyai sarung.
Teknik permainan dan aplikasi
Sesuatu senjata itu direkabentuk untuk tujuan dan teknik permainan yang tertentu. Seni permainan pedang Melayu adalah berbeza daripada seni permainan parang. Sesetengah pengamal seni perang Melayu menakrifkannya sebagai “permainan Laksamana” berbanding dengan “permainan Hulubalang” yang biasa digunakan untuk kaedah permainan parang. Ciri utama di dalam seni permainan pedang Melayu ialah bahagian muka pedang (bahagian mata yang tajam) tidak digunakan untuk menangkis serangan senjata musuh. Ini akan merosakkan mata pedang itu dan mengurangkan keberkesanannya sebagai senjata. Tangkisan hanya dilakukan dengan bahagian belakang mata atau bahagian awak (tepi) mata. Kaedahnya lebih kepada “tangkis dan makan” atau “makan gerak” di mana serangan balas dilakukan sebaik sahaja musuh mula menyerang. Miyamoto Musashi menakrifkan kaedah ini sebagai “Ai uchi” iaitu to cut the opponent just as he cuts cuts you atau menyerang musuh sebaik sahaja musuh menyerang. Ini merupakan salah satu rahsia di dalam perguruan kendo Itto Ryu.
Pedang merupakan senjata cut and thrust atau memotong dan menikam. Ia ibarat gabungan antara parang dan keris dari segi fungsi. Walau bagaimanapun, sesetangah pedang lebih sesuai untuk memotong dan sesetengahnya pula lebih sesuai untuk menikam. Tetapi kebanyakan pedang di dalam Alam Melayu adalah sesuai untuk kedua-dua kaedah. Kaedah memotong di dalam seni pedang melibatkan tiga jenis pergerakan iaitu hiris tarik (draw cut), hiris tolak (push cut) dan tetakan (chop cut). Kaedah hiris tarik paling kerap dan paling mudah digunakan. Kaedah tetakan pula hanya digunakan dalam keadaan tertentu seperti untuk melumpuhkan anggota badan musuh yang tertentu seperti mata dan tangan tanpa memutuskan bahagian tersebut atau menyebabkan kecederaan yang parah. Cara pedang itu dipegang dapat menentukan kaedah pemotongan yang berbeza.
Kaedah permainan pedang Melayu amat berseni. Jika diperhatikan spesimen-spesimen pedang Melayu yang terdapat di muzium, jarang sekali kita lihat mata pedang yang sumbing akibat menangkis serangan senjata yang lain. Kaedah ini juga memerlukan masa yang lama dan dedikasi yang tinggi untuk mencapai tahap kemahiran yang sepatutnya. Di dalam perguruan silat yang mempunyai permainan pedang, biasanya hanya penuntut yang mencapai tahap tenaga pengajar atau guru sahaja yang akan didedahkan dengan seni permainan pedang. Ini adalah kerana pengendalian sebilah pedang memerlukan tumpuan dan kemahiran serta keserasian yang tinggi dengan senjata tersebut. Seni permainan pedang juga banyak melibatkan aspek teknikal dan saintifik, dan memerlukan set minda yang berbelainan dengan seni senjata yang lain.
Pedang juga merupakan satu senjata yang mempunyai kelebihan jika dibandingkan dengan senjata-senjata tradisional Melayu yang lain. Sebagai contoh, mata pedang yang lebih panjang daripada sundang atau parang memberi kelebihan kepada pemakai pedang dari segi jarak. Pedang boleh digunakan untuk menikam dan memotong, dan bilahnya yang ringan menjadikannya satu senjata yang amat berbahaya kepada mereka yang dilatih untuk menggunakannya.
Dapat disimpulkan di sini bahawa pedang Melayu ialah sejenis senjata tajam dengan bilah yang diperbuat daripada besi, meruncing ke hujungnya dengan panjang bilah sekitar 18-30 inci dan mempunyai sarung. Senjata menikam dan memotong ini mungkin mempunyai mata yang lurus atau melengkung, dan mungkin mempunyai hulu yang sesuai untuk genggaman satu atau dua belah tangan. Jisim senjata ini biasanya kurang daripada 2 kg. Matanya juga agak ringan dan “pantas”. Kaedah permainannya lebih menumpukan kepada kepantasan dan ketangkasan daripada kekuatan fizikal. Ia juga direkabentuk untuk memotong daging dan tulang, dan bukan untuk menebas kayu dan besi.