Friday, 16 November 2018

Seni Pedang Melayu: Kelestarian Warisan Tanah Jawi part 1

Pedang merupakan antara senjata logam terawal yang dicipta manusia yang hanya mempunyai satu fungsi khusus iaitu untuk pertempuran dan peperangan. Senjata tajam telah menjadi perkakasan utama di dalam peperangan selama ratusan generasi, dan sehingga kini masih lagi mengimbau mimpi ngeri . Sejarah pedang bermula ribuan tahun lalu, dan adalah sinonim dengan perkembangan tamadun manusia. Kebanyakan tamadun telah merekabentuk senjata berupa pedang mereka tersendiri, dan pedang mendapat tempat yang istimewa di dalam kebanyakan budaya di dunia ini. Tamadun-tamadun barat seperti Rom, Yunani dan masyarakat Viking terkenal dengan penggunaan pedang, begitu juga dengan Russia, Turki, Afrika, Arab, Parsi, India hinggalah ke Mongolia, China dan Jepun di timur.

Alam Melayu juga tidak ketinggalan di dalam pembuatan dan penggunaan pedang di dalam peperangan. Kajian oleh S.Q. Fatimi pada tahun 1964 telah membuktikan bahawa terdapat aktiviti perdagangan yang signifikan di antara Tanah Melayu dan Tanah Arab sejak zaman Jahiliyah lagi. Kesimpulan beliau adalah berdasarkan sastera Arab pra-Islam yang sering memuji pedang Al-Hind. Menurut beliau, Al-Hind yang dimaksudkan bukanlah India seperti tanggapan ramai, sebaliknya “kepulauan Hind” iaitu gugusan Kepulauan Tanah Melayu. Di dalam penulisan beliau, didapati bahawa pedang-pedang yang terbaik di tanah Arab pada ketika itu adalah “pedang buatan Qala’ah”. Kajian ini seterusnya menyatakan Qala’ah sebagai “Kelang” di Tanah Melayu. Penyelidikan dan penemuan-penemuan terkini telah mengenalpasti “Qala’ah” sebagai nama lama bagi Kedah Tua.

Ini terbukti dengan penemuan tapak arkeologi Sungai Batu berhampiran dengan Sungai Petani, Kedah pada tahun 2011  yang merupakan pusat pengeluaran besi terbesar di Asia. Ini bermakna sejarah pembuatan pedang keluli (steel) di Tanah Melayu bermula sekitar 2,500 tahun dahulu. Salah satu harta rampasan perang daripada Banu Qaynuqa’ ketika zaman pemerintahan Nabi Muhammad SalAllah ‘Alaihi Wasallam ialah sebilah pedang yang dikenali sebagai Qal’a, pedang buatan Qala’ah yang dipilih oleh Rasulullah sendiri. Ibn Al-Athir diriwayatkan pernah menyatakan bahawa Rasulullah SalAllah ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda, “Pedang kami adalah dari Qala’ah” .

Ciri utama yang menyebabkan pedang dari Qala’ah ini disanjung tinggi oleh Bangsa Arab adalah kerana dikatakan pedang-pedang ini adalah lebih tajam dan mempunyai ketahanan yang tinggi berbanding dengan pedang-pedang buatan negara lain, malah pedang-pedang mereka sendiri. Al-Idrisi menyatakan bahawa orang Qala’ah meleburkan besi mereka dengan besi dari Zanj (Afrika) untuk menghasilkan besi yang berkualiti tinggi dan amat tajam . Teknik yang dimaksudkan di sini adalah teknik “pattern welding” atau pamur yang biasa didapati di kawasan Tanah Melayu dan kepulauan sekitarnya.

Newbold pula menyatakan bahawa pedang kerap dipaparkan di dalam ukiran pada candi purba dan arca batuan di Jawa lebih lama sebelum keris, yang mendapat populariti di dalam abad ke-15 . Pedang juga memainkan peranan penting di dalam adat istiadat istana di Tanah Melayu, khususnya di dalam adat pertabalan Raja atau Sultan Melayu. Gardner pula mencatatkan lebih kurang tujuh belas jenis pedang berbentuk “parang” di dalam kajian beliau.

Setelah kedatangan Islam ke Tanah Melayu, pedang tetap memainkan peranan penting di dalam masyarakat Melayu. Bermain pedang sering dikatakan menjadi salah satu sunnah Rasulullah yang amat baginda galakkan, bersama-sama dengan memanah, berenang dan menunggang kuda . Baginda sendiri memiliki 9 bilah pedang yang diketahui nama-namanya, 6 laras busur panah dan beberapa ekor kuda perang. Namun begitu, mungkin kerana kekangan-kekangan tertentu, seni bermain pedang kurang diamalkan oleh rakyat jelata di Tanah Melayu, sebaliknya penggunaan senjata tajam yang lain seperti parang, keris (termasuk keris sundang) dan lembing diutamakan.

Perkembangan seni perang yang dikenali sebagai silat juga menyumbang kepada keluasan penggunaan senjata-senjata ini dan senjata pendek yang lain. Seni permainan pedang pula terbatas di kalangan golongan bangsawan dan kerabat istana. Faktor-faktor keterbatasan ini akan dibincangkan kemudian.

Bagi tujuan kajian ini, Seni Sukma Kencana telah dijadikan contoh utama di dalam teknik seni permainan pedang Melayu yang ternyata berbeza daripada seni permainan parang. Seni Sukma Kencana ialah seni permainan pedang yang diwarisi oleh keturunan Sheikh Abdul Latif Al-Khalidi yang berasal dari daerah Talu, Sumatera Barat. Menurut salasilah keluarga, keturunan Sheikh Abdul Latif merupakan bangsa Melayu yang bermastautin di Tanah Arab. Mereka terdiri daripada golongan ulama dan pedagang yang tersebar luas di Tanah Melayu. Anakanda Sheikh Abdul Latif iaitu Haji Muhammad Salleh Sheikh Latif merupakan guru agama Istana Johor pada awal abad ke-20. Sheikh Abdul Latif juga dikatakan mempunyai talian kekeluargaan dengan Sheikh Ismail Naqsyabandi Ar-Rawi yang pernah bermastautin di Tanjong Malim, Perak. Masjid Sheikh Ismail atau Masjid Tua Tanjong Malim adalah peninggalan beliau  yang masih dipelihara dan digunakan. Imam Masjid Sheikh Ismail ketika penulisan ini dibuat juga adalah keturunan Sheikh Abdul Latif dari jurai Haji Muhammad Salleh.

Makam Sheikh Abdul Latif dikatakan berada di Ulu Yam, Selangor tetapi telah disembunyikan untuk mencegah aktiviti-aktiviti tahyul dan khurafat yang diamalkan oleh para pengunjung. Dikatakan bahawa Sheikh Abdul Latif dianugerahi karamah yang setaraf atau setanding dengan Sheikh Abdul Rauf Singkel dan mereka daripada aliran tariqat yang sama. Anak cucu Sheikh Abdul Latif sering mendengar kisah di mana ada orang yang ke Mekah berjumpa dengan Sheikh Abdul Latif di sana, tetapi pada masa yang sama beliau ada di Tanah Melayu .

Menantu Sheikh Abdul Latif, Haji Shafie pula digelar “pendekar” di Hulu Bernam, Selangor. Abang Haji Shafie merupakan seorang pandai besi. Haji Shafie dan isteri beliau Hajjah Siti Rafeah Sheikh Abdul Latif dikebumikan di Hulu Bernam dan Haji Muhammad Salleh pula dikebumikan di Endau, Pahang . Hajjah Siti Rafeah merupakan ibunda kepada Hajjah Zainab Haji Shafie, dan Haji Muhammad Salleh pula ayahanda kepada Haji Abdul Majid. Haji Abdul Majid berkahwin dengan Hajjah Zainab (sepupunya) dan mendapat anak lelaki yang dinamakan Haji Hosainel Majidi. Haji Hosainel Majidi berkahwin dengan Hajjah Fatimah Haji Zainal Abidin dan dikurniakan cahaya mata lelaki bernama Haji Muhammad Hanif yang kini menjadi pewaris tunggal Seni Sukma Kencana.
Seni Sukma Kencana diriwayatkan berasal daripada leluhur Sheikh Abdul Latif yang bermastautin di Tanah Arab lebih 1,400 tahun yang lalu. Ini adalah konsisten dengan kajian S.Q. Fatimi pada tahun 1964 yang menyatakan terdapat aktiviti perdagangan dan jaringan perhubungan maritim yang kompleks sebelum kedatangan Islam.

Seni pedang ini dipercayai dibawa ke Tanah Melayu selepas tahun ke-2 Hijrah ketika para bentara Rasulullah SalAllah ‘Alaihi Wasallam bertebaran ke seluruh pelusuk dunia membawa seruan dan ajaran Islam syariat Muhammad kepada manusia. Setelah ratusan tahun berada di Tanah Melayu, ia diwarisi oleh generasi demi generasi sehinggalah sampai kepada Sheikh Abdul Latif dan anakanda beliau Haji Muhammad Salleh. Penggunaan jenis senjatanya juga telah berubah mengikut keperluan dan kesesuaian setempat. Kini, Seni Sukma Kencana menggunakan pedang jenawi sukma yang telah disesuaikan dengan kaedah-kaedah seni pedang ini.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa 2025

  Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa 2025 akan menjadi titik pertemuan bersejarah antara dunia persilatan dan dunia akademik. Pada b...