Thursday, 15 February 2018

Saaah Fa Zu... I shall defend

Assalamualaikum... May Peace be upon you... bersua kita kembali. Kali ni, saya ingin menceritakan serba sedikit mengenai proses pembikinan pisau dengan kaedah stock reduction atau dalam bahasa yang mudah, memotong sekeping besi untuk membentuk mata pisau.

Untuk projek ini, saya telah menggunakan sebilah kikir besi. Kikir besi merupakan dibuat dengan keluli yang dikenali juga sebagai tool steel iaitu sejenis keluli yang mempunyai kandungan carbon yang tinggi (high carbon steel). Tool steel biasanya telah di pre-hardened atau dalam ertikata lain, di sepuh atau telah dikeraskan terlebih dahulu. Tool steel terdiri daripada pelbagai gred, dan yang biasa terdapat ialah keluli 1090, iaitu mengandugi 0.9% kandungan carbon. Bagi hulu dan sarung, saya akan menggunakan kayu yang hampir 60 tahun berada dalam simpanan saya.


Kikir besi tersebut dipotong dengan menggunakan angle grinder untuk mendapatkan bentuk kasar pisau yang telah direka. Pisau yang direka ini mempunyai bilah 3 inci dan berbentuk full tang iaitu puting pisau (bahagian yang dimasukkan dalam pemegang atau hulu) dibuat sama panjang dengan hulu. Kelebihan rekabentuk full tang ini ialah pisau yang terhasil adalah lebih kuat dan tahan lasak.


Bentuk kasar mata pisau yang telah dipotong dan kemudiannya dicanai. Pada peringkat ini, edge bevel atau bahagian mata pisau yang tajam telah dibentuk. Saya telah mengubah sedikit design mata ini kepada bentuk drop point daripada bentuk normal. Di bawah saya sertakan satu gambarajah mengenai bentuk-bentuk mata pisau secara am. Setiap bentuk mata pisau mempunyai fungsi dan kelebihan masing-masing, bergantung kepada tujuan pisau tersebut dibuat.


Setelah bentuk asas mata pisau didapati, proses seterusnya ialah sepuhan atau tempering. Proses sepuhan akan menguatkan dan mengeraskan keluli yang digunakan sebagai mata pisau itu supaya ia kekal tajam walaupun digunakan berkali-kali. Proses sepuhan secara ringkasnya lakukan dengan memanaskan mata pisau tersebut sehingga keluli itu hilang sifat magnetiknya, dan kemudian direndam ke dalam air atau minyak untuk menyejukkannya dengan pantas. Proses ini akan menyebabkan berlakunya penyusunan semula atom-atom ferum dan carbon yg terdapat dalam struktur molekul keluli lalu menguatkannya.


Setelah disepuh, langkah seterusnya ialah membuat etching pada mata pisau. Mata pisau perlu dikilatkan terlebih dahulu dan dicuci dengan rubbing alchohol untuk membuang apa-apa sisa minyak atau bendasing yang boleh mengganggu proses etching yang bakal dilakukan. Teknik yang saya aplikasikan dalam projek ini dipanggil electroetching iaitu menggunakan sejenis elektrolit dan arus elektrik untuk mengakis bahagian tertentu mata pisau tadi untuk menghasilkan corak yang diingini. 


Setelah selesai proses electroetching, sarung dan hulu pisau sudah boleh mula dibentuk. Saya menggunakan kaedah belahan untuk menghasilkan sarung pisau. Hulunya pula terdiri daripada dua bahagian yang akan dilekatkan dengan menggunakan gam dan pin atau pasak yang dibuat daripada buluh (ala-ala pedang samurai atau katana). Setelah digam, bahagian-bahagian ini akan dipotong dan dibentuk.



Setelah dibentuk, sarung dan hulu pisau ini akan diperhalusi dengan menggunakan kertas pasir dan kemudian disembur dengan lacquer untuk memberikan kemasan terakhir.


Setelah lacquer kering, saya akan mengasah dan menggilapkan mata pisau ini supaya boleh digunakan. Beginilah hasil akhir pisau buatan tangan sendiri yang dihasilkan menggunakan teknik stock reduction. Bilah clip point 3 inci, mata full tang bersepuh air, electroetching, dengan sarung dan hulu daripada kayu.

InsyaAllah saya akan menghasilkan beberapa bilah lagi pisau seperti ini dan juga yang lain untuk dilepaskan kepada pemilik-pemilik yang baru nanti. Saya akan kongsikan lagi hasil-hasil karya saya di blog ini dari masa ke semasa. Setiap satu hasil kerja tangan saya akan saya "tandatangan" dengan frasa saaah fa zu pada matanya.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa 2025

  Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa 2025 akan menjadi titik pertemuan bersejarah antara dunia persilatan dan dunia akademik. Pada b...