Monday, 25 June 2018

Seminar Falsafah dan Tamaddun (SEFATA) 2018


Assalamualaikum and May Peace Be Upon You...

InsyaAllah, Seni Sukma Kencana akan dibentangkan di dalam SEFATA 2018 pada 12 November 2018 ini di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Bersesuaian dengan tema "Memartabatkan Kemanusiaan Melalui Falsafah dan Tamadun", pembentangan bertajuk "Tariqat Pedang: Di sebalik Seni Gerak dan Seni Tampak - Satu Pendekatan Terhadap Praktik dan Falsafah Seni Sukma Kencana".

InsyaAllah, pembentangan ini akan membuka sedikit tabir di sebalik pengertian gerak dan tampak di dalam Seni Sukma Kencana. Seni pedang ini warisan para ulama zaman silam. Ia diasaskan berteraskan prinsip-prinsip Tauhid dan bukan diilhamkan daripada pergerakan haiwan atau alam semulajadi. Peluang untuk membentangkan kertas kerja di salah satu pusat pengajian tinggi tersohor di Malaysia sememangnya tidak boleh dilepaskan. Ini merupakan satu wadah untuk membuka Seni Sukma Kencana kepada ahli akademik sebagai satu jalan supaya ia dapat dikaji dan dibincangkan secara ilmiah.

Selain daripada itu, ini juga merupakan satu wasilah dakwah, bersesuaian dengan istilah "Tariqat Pedang" yang digunakan. Berikut merupakan sebahagian daripada abstrak pembentangan ini:

Namun begitu, kelahiran Seni Sukma Kencana bukanlah hanya semata-mata sebagai ilmu perang Melayu tetapi juga satu wadah untuk berdakwah, satu jalan untuk mengenal diri dan mengenal Tuhan Yang Maha Mencipta. Segalanya daripada penanti, kaedah tangkisan, senjata, prinsip dan logo perguruan Seni Sukma Kencana membawa erti dan makna tersendiri yang menjurus kepada ilmu Tauhid dan pengukuhan Aqidah. Di dalam bahasa Arab, tariq bererti jalan atau wasilah. Maka bagi mereka yang memilih jalan ini untuk mengenali diri mereka supaya dapat mengenal Tuhan mereka, mereka berada di dalam Tariqat Pedang. Pembentangan ini dibahagikan kepada dua komponen utama iaitu Seni Gerak dan Seni Tampak. Seni Gerak adalah pergerakan-pergerakan ilmu pedang itu sendiri dan Seni Tampak pula merujuk kepada pakaian dan perlambangan di dalam Seni Sukma Kencana.

Istilah "Tariqat Pedang" di sini sebenarnya boleh diterjemahkan sebagai The Way of the Sword. Seperti yang telah dijelaskan di dalam abstrak di atas, tariq bermaksud jalan atau way. Seni Sukma Kencana merupakan satu jalan atau wasilah untuk mendekatkan pengamalnya kepada Tuhan Yang Maha Esa, melalui kaedah seni permainan pedangnya. Diharapkan pembentangan ini akan dapat memberi pencerahan kepada erti dan maksud di sebalik seni pedang ini.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa 2025

  Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa 2025 akan menjadi titik pertemuan bersejarah antara dunia persilatan dan dunia akademik. Pada b...