Sunday, 3 June 2018

Busana Melayu

ُالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

"Syarat pertama busana Melayu itu hendaklah pantang membuka aurat. Sesiapa memakai tetap terbuka aurat, tandanya imannya sudah berkarat. Tanda orangnya tidak semenggah, berkain baju berdedah-dedah. Barang siapa memakai singkap-menyingkap, tanda dirinya tidak beradab. Alat Melayu jati, berkain baju berhati-hati."

"Syarat kedua busana Melayu itu pantang kainnya nipis, apabila berkain baju tipis, di situlah tempat setan dan iblis. Apabila memakai baju terlalu jarang, malu tiada aib pun hilang. Sesiapa memakai pakaian yang tembus mata, tanda dirinya dalam nista."

“Syarat ketiga busana Melayu itu mestilah pantang ia berpotongan yang ketat. Tidak boleh sama sekali menampak lekuk atau liku di tubuh. Ingatlah apabila memakai ketat-ketat, agama hilang binasa adat. Barang siapa berbaju sempit, imannya malap jiwanya sakit. Ingatlah Anakanda Muhammad, tanda Melayu memegang adat pantang ia berbaju ketat. Tanda orang beriman teguh pakaian sempit memang dijauh”

“Itulah, yang hendak ayahanda menyatakan tentang syarat keempat busana Melayu. Pantang ia mengada-ada. Membuat baju harus sejudu, jangan suka tiru-meniru, supaya tak hilang maruah Melayu. Apabila memakai tahukan diri, supaya tak lupa diri sendiri, kala memakai elok menurut adat kelak tidak membawa mudarat. Ingatlah, jika memakai elok menutupi badan, supaya tidak disusupi setan”

“Syarat yang kelima busana Melayu itu dilarang sekali memandai-mandai. Kerana apabila berpakaian memandai-mandai, aib tersingkap malu terburai... Syarat kelima itu bukan untuk membataskan kepandaian orang Melayu, tetapi untuk menjaga busana dan gaya kita kelak agar tidak sampai terlerai dari pokoknya, tunjangnya ayat yang kubacakan tadi. Pakaian Melayu itu, anakanda, harus ada akar. Akar itu makna. Makna itu ada dua, makna lahir dan juga makna batinnya.”

“Ya, agar busana Melayu tidak diikuti di seluuh dunia hanya pada gaya dan fesyen, bahkan pada prinsip dan falsafahnya … bahawa pakaian itu pelindung malu, petunjuk budi dan adab. Busana Melayu akan menjadi senjata keamanan sejagat!”

Faisal Tehrani, Manikam Kalbu, 2007, DBP.
Pemenang (tempat pertama) Sayembara Mengarang Sempena Perayaan JUBLI EMAS DBP.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa 2025

  Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa 2025 akan menjadi titik pertemuan bersejarah antara dunia persilatan dan dunia akademik. Pada b...