Friday, 8 June 2018

Ravers... dan isu-isu lain


Assalamualaikum and may peace be upon you.

Saya sebenarnya tidak mahu menyentuh hal ini, tetapi berita semacam ni asyik dok naik dalam news feed fb saya… mula-mula geli hati, tetapi lama-lama jadi tak senang duduk pulak tengok budak-budak Melayu, generasi muda kita yang baru berusia 13-19 tahun terlentok liuk macam sotong kena candat... Katanya tarian moden, mereka gelarkan rave.

Apakah rave ini sebenarnya? Imbasan sekilas lalu saya jumpa istilah Radical Audio Visual Experience atau boleh diertikan sebagai "Pengalaman Audio Visual yang Radikal". Satu bentuk tarian (?) yang mengikut rentak lagu yang dimainkan, biasanya yang berentak tekno. “Tarian” ini sedang menjadi kegilaan sesetengah remaja di Tanah Melayu ini pada masa kini yang bermula sekitar tahun 1980an dan 1990an ketika mana rave party mula diadakan di barat. Sesetengah pihak berpendapat, “biarkanlah budak-budak ni nak berhibur dan merasa, lama-lama nanti mereka sedarlah.” Tidak kurang juga yang berkata, “kita dulu pun apa kurangnya dengan gaya metal, thrash, punk dan sebagainya?” Ada betulnya apa yang mereka kata. Dan jika difikirkan, budak-budak ini hanya menari (buat masa ini)… apa salahnya, kan?



Isu ini agak sensitive dan saya bukan nak berlagak alim atau warak. Saya sendiri membesar di zaman Metallica, Iron Maiden dan Scorpions. Pernah juga mendengar muzik Yngwie Malmsteen, Guns n Roses dan Epica. Itu belum masuk Nightwish dan Within Temptation. Pada saya, muzik adalah muzik, layan tetap layan tetapi yang paling penting kita tahu batas-batas yang kita perlu jaga. Faham lirik dan senikata lagunya bukan main lalak je tak reti bahasa.

 Bak kata guru, “Jadilah seperti ikan di laut, airnya masin tetapi daging ikan itu tidak masin…”

Berbalik kepada isu ravers ni… remaja perlu melalui pengalaman-pengalaman yang akan mematangkan mereka di dalam kehidupan mereka sebagai dewasa kelak. Namun begitu, guru dan ibubapa seharusnya memainkan peranan untuk membantu mereka mencari identiti diri mereka. Kita orang Melayu Islam, adakah sesuai untuk kita berkelakuan seperti itu? Adakah ianya bersesuaian dengan moral compass  kita sebagai Muslim dan Mukmin?

Terdapat beberapa hadis Rasulullah SalAllah ‘Alaihi Wasallam sendiri yang melarang umat Islam daripada menyerupai kaum bukan Islam. Ibnu Taimiyah juga ada menyebut di dalam kitab Majmu’ Al Fatwa bahawa kelakuan fizikal (lahiriyah) boleh mempengaruhi akhlak dan amalan. Ini juga terbukti di dalam kajian psikologi moden yang mana menyatakan bahawa sesuatu perkara yang kita buat melebihi 40 hari akan menjadi tabiat. 

Seperkara lagi yang perlu kita beri perhatian ialah penggunaan bahasa anak-anak kita sekarang ini. Perkataan-perkataan yang kurang sedap didengar senang sahaja meluncur keluar daripada mulut atau jari-jemari mereka… Bahasa mencerminkan Bangsa. Kalau umur belum cecah 20 tahun tetapi dah pandai memaki hamun, adakah ini yang ingin kita lihat di dalam generasi yang akan menjadi pewaris kita?

Saya tidak berniat mengaibkan mana-mana pihak tetapi seperti sabda Rasulullah SalAllah ‘Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiAllahu’anhu, “Tidaklah seorang bayi yang dilahirkan melainkan dalam keadaan fitrah, maka kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani, atau Musyrik.” Ibubapa memainkan peranan yang amat penting untuk membantu anak-anak mencari dan meneroka siapa diri mereka yang sebenarnya. Di sini sekali lagi ingin saya tegaskan bahawa pegangan Tauhid dan Aqidah yang kukuh amatlah penting. Selain ibubapa, para pendidik perlu menggalas tanggungjawab membentuk anak bangsa kita. Ibubapa perlu berikan kerjasama kepada pihak guru untuk menjalankan tanggungjawab mereka, tugas hakiki mereka.

Jika kita lihat di barat, ramai di antara mereka memilih Islam sebagai jalan hidup mereka. Kenapa? Kerana ramai yang berkata bahawa hidup mereka kosong, tiada arah tuju. Tetapi mereka menemui tujuan hidup mereka di dalam Islam dan dengan mantauhidkan ALLAH Subhanahu Wata’ala. Kita di Tanah Melayu ini pula, sering mengagung-agungkan budaya orang lain dan memperlekehkan budaya nenek moyang kita sendiri. Antara yang paling ketara adalah dari segi pakaian. Ada puak yang menganggap memakai seluar jeans sebagai tidak Islamic dan ada pula yang berkata memakai tanjak dan busana Melayu sebagai tidak Islamic (sila rujuk posting saya sebelum ini mengenai Busana Melayu).

Jadi apakah Islamic  itu sebenarnya? Adakah Islam itu pada pakaian? Memakai jubah dan serban itu adakah Islam? Maaf kata, Yahudi dan Nasrani di Tanah Arab juga memakai jubah dan serban. Itu adalah budaya mereka. Saya bukan hendak menidakkan sunnaturrasul, tetapi pemakaian itu haruslah mengikut kesesuaian setempat dan janganlah kita jadikan sesuatu sunnah itu sebagai sesuatu perkara yang wajib. Dan janganlah pula kita mengharamkan yang halal. Busana Melayu direka dengan sebegitu rupa, ianya amat syariah compliant. Yang penting di sini ialah kesederhanaan.

Anak muda sekarang sudah semakin ketinggalan di dalam mengejar arus kemodenan. Berapa ramai yang kenal apa itu keris? Berapa ramai yang boleh bezakan parang dengan golok? Berapa ramai pula tahu mengikat sampin? Belum lagi yang tahu adab dan adat berbusana. Dan ini baru menyentuh mengenai Budaya Melayu... belum lagi Roh Melayu.

Penjajahan terhadap Orang Melayu kini bukan lagi berbentuk peperangan dan pertempuran bersenjata tetapi menjajahan minda dan jiwa secara halus dan amat terancang. Musuh-musuh kita menggunakan budaya dan agama untuk memesongkan aqidah Orang Melayu. Kalau dahulu nenek moyang kita pantang berbahasa Inggeris kerana menganggap itu bahasa penjajah, kini kita perlu menguasai bahasa Inggeris jika kita ingin benar-benar ingin memahami apakah impak budaya mereka terhadap budaya dan keimanan kita. Guru hikam saya menggalakkan anak muridnya belajar dan menguasai Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab selain Bahasa Melayu. Kenapa? Marilah kita sama-sama kaji dan teliti… wassalam.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa 2025

  Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa 2025 akan menjadi titik pertemuan bersejarah antara dunia persilatan dan dunia akademik. Pada b...