Sunday, 24 June 2018

13 tahun...

Assalamualaikum and may peace be upon you...

Awaluddin makrifatullah... Awal agama itu adalah mengenal Allah. Ayat ini menunjukkan betapa pentingnya ilmu Tauhid. Sejarah telah membuktikan Rasulullah SalAllah 'Alaihi Wasallam sendiri memperuntukkan lebih daripada separuh masa 23 tahun baginda berdakwah untuk membetulkan, menerapkan dan mengukuhkan aqidah para muslimin. Jika solat dikatakan sebagai Tiang Agama, Tauhid adalah tapak tanah tempat tiang itu dibina.

Tauhid bukan sekadar melafazkan "Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah", tetapi perlu disertakan dengan perlakuan dan iktikad yang sebenar. Lafaz La ila ha illAllah itu perlu difahami dengan sebenar-benarnya. "La" di sini bermaksud "tiada" - tiada sesuatu apa pun yang berkuasa melainkan Allah. Allah adalah segala-galanya. Segalanya datang dari Allah, berlaku dengan kehendak dan izin Allah dan akan kembali kepada Allah...

Kita perlu faham dan yakin bahawa makhluk tidak mempunyai sebarang kuasa untuk berbuat apa-apa sekali pun tanpa izin dan kehendak Allah. Sekiranya kita kata, "Jin itu yang buat aku sakit," atau "makhluk tu yang bagi rezeki pada aku," maka di sini kita telah menduakan Allah. Menduakan Allah adalah perbuatan syirik yang tidak terampun. Syirik seperti ini dikatakan oleh ulama sebagai syirik kahfi atau syirik tersembunyi.

Ada kalanya kita mempertikaikan, kenapa Allah tidak memakbulkan doa kita... sudahkan kita periksa diri kita? Kita mohon doa pada Allah, tapi kita ambil pelaris untuk "memajukan" bisnes kita. Kita mohon doa pada Allah, tapi kita menuntut ilmu kebal dan yakin dengan ilmu itu kita tidak akan cedera. Kita mohon doa pada Allah, tapi masih memperasap dan mencium keris dengan harapan keris itu akan melindungi kita. Kita mohon doa pada Allah, tetapi kita kata boss yang bagi rezeki pada kita... apakah betul perbuatan kita itu?

Berbalik kepada pernyataan saya di awal posting tadi... Makrifatullah bermaksud "mengenal Allah". Ilmu makrifat adalah salah satu dari empat tahap ilmu yang terdiri daripada syariat, tariqat, hakikat dan makrifat. Rukun Islam dan segala hukum-hakam dalam Islam terkandung di dalam syariat. Rukun Iman adalah sebahagian daripada hakikat. Kedua-dua ini perlu seimbang.

Tariqat adalah jalan atau wasilah untuk membersihkan hati, membersihkan jiwa supaya dapat menerima hidayah Allah di dalam usaha untuk mengenalNya. Mengenal Allah itulah yang dimaksudkan dengan makrifat, yang sebenarnya adalah kurnia daripada Allah.

Ilmu makrifat bukanlah kebolehan untuk melihat makhluk ghaib, boleh bertempur dengan makhluk ghaib, kebal, boleh meramal masa hadapan, boleh "tarik barang" dari alam lain dan sebagainya. Itu adalah permainan Jin dan Iblis yang ingin memesongkan Manusia. Janganlah kita terpedaya dengan dakyah palsu ini. Ini bukan makrifat sebaliknya hanyalah apa yang di istilahkan sebagai sakti.

Marilah kita kembali kepada Allah... kenali Allah dengan sebenar-benarnya. Perkuatkan ilmu syariat, tetapi jangan terperangkap di dalam syariat. Carilah jalan (tariq) atau wasilah untuk kita mencapai hakikat keTuhanan yang sebenar. Carilah Tuhan, bukan cari agama semata-mata. Kerana apabila kita mencari Tuhan, kita akan jumpa agama. Syariat tanpa hakikat adalah batal, hakikat tanpa syariat adalah sia-sia.

Kita angkat takbir 17 kali sehari, siapa yang kita sembah? Kepada siapakah kita gantungkan amal ibadat kita? Adakah kita solat untuk mendapatkan pahala dan syurga? Atau solat kita, amalan kita, hidup dan mati kita hanyalah untukNya? Konsep tauhid ini mudah tetapi ramai yang terlepas pandang. Jangan biarkan agama menjadi budaya semata-mata. Buka mata, buka minda, buka hati... intai-intailah ilmu tasawwuf, usuluddin, hikam... tetapi harus berguru dan bukan membaca kitab atau buku semata-mata.

Banyak yang boleh diperkatakan apabila berbicara tentang hakikat keTuhanan... cukuplah sekadar ini dahulu sebagai muqaddimah dan pembuka minda. InsyaAllah... wabillahi taufiq wal hidayah...

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa 2025

  Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa 2025 akan menjadi titik pertemuan bersejarah antara dunia persilatan dan dunia akademik. Pada b...