Saturday, 9 June 2018

Lama ke baru?...

Assalamualaikum and may peace be upon you.

Just a short one this morning... saya sering ditanya mengenai beza antara pedang lama dan pedang yang baru. Ada pihak yang suka mencari pedang dan senjata lama lain untuk dibuat koleksi. Memang tidak dinafikan senjata lama mempunyai daya penariknya yang tersendiri. Hasil seni pengkarya yang mungkin puluhan atau ratusan tahun dahulu sememangnya sukar untuk ditandingi.

Namun begitu, apabila kita berniat untuk menyimpan senjata itu sebagai "pakaian", pada pendapat saya lebih baik kita dapatkan yang baru. Ada 3 faktor yang dapat saya berikan untuk menyokong pernyataan ini.

Pertama, metal fatigue. Pernah tak kita ambil seutas dawai dan kita bengkokkan berulang kali? Apa akan jadi kepada dawai tersebut? Lama kelamaan ia akan putus, kan? Inilah metal fatigue. Logam akan jadi lemah akibat tindakan-tindakan dan daya yang dikenakan terhadapnya, khususnya setelah puluhan ataupun ratusan tahun ia digunakan. Karat dan kecuaian menjaga senjata tersebut juga membantu melemahkan mata senjata tersebut. Amalan sesetengah orang yang sengaja tidak mencuci senjata mereka setelah digunakan sehingga berkarat juga menyumbang kepada metal fatigue.

Saya tidak menafikan ada yang percaya bahawa karat pada senjata itu akan membuatkannya lebih "berbisa". Kepercayaan ini mungkin berasas kerana karat besi sememangnya toksik dan boleh menyebabkan tetanus. Tetapi kesannya bukanlah berlaku serentak. Ia mengambil masa beberapa hari untuk menjangkiti tubuh badan manusia. Ada juga yang mengaitkan faktor-faktor mistik dengan senjata berkarat. Contohnya dengan membiarkan darah musuh pada mata senjata tanpa dicuci. Tindakan ini hanya akan menyebabkan senjata tersebut berkarat dan melemahkan bilah matanya.

Faktor kedua ialah kandungan besi. Senjata lama seringkali ditempa dengan menggunakan teknik pattern welding yang membentuk corak pamur pada bilah mata senjata tersebut. Kaedah ini masih lagi diamalkan sehingga kini di dalam pembuatan senjata tajam yang berkualiti tinggi. Isu di sini adalah besi lama sering mempunyai kandungan bendasing yang tinggi. Kandungan karbon yang terlalu tinggi akan menyebabkan bilah mata menjadi terlalu rapuh dan mudah patah. Berdasarkan pemerhatian saya, biasanya, senjata yang dihasilkan dengan menggunakan teknik pattern welding dalam 100 tahun kebelakangan ini agak kurang kualitinya jika dibandingkan dengan yang lebih lama.

Selain faktor kandungan besi ini, faktor teknik tempaan juga perlu diambilkira. Pattern welding bertujuan untuk mengurangkan bendasing di dalam besi yang digunakan, tetapi jika tidak dilakukan dengan sempurna, boleh meninggalkan lohong atau mikro kaviti di dalam struktur besi tersebut. Ini akan melemahkan struktur dan mencemarkan integriti mata senjata itu.

Faktor ketiga ialah kos. Senjata lama sememangnya mempunyai kos yang tinggi jika dibandingkan dengan yang baru. Jika kita berniat untuk menyimpan senjata itu sebagai koleksi kita, silakanlah. Tetapi jika ia bertujuan sebagai "pakaian", maka lebih baiklah kita dapatkan yang baru. Lebih value for money, sebenarnya.

Jangan biarkan nilai sentimental mempengaruhi keputusan kita untuk membeli senjata lama sebagai "pakaian". Saya sendiri memakai sebilah keris lama bersama busana saya tetapi itu bukanlah sebagai "pakaian". Hanya lebih kepada simbol dan perlambangan dan ada orang kata "nak ambil berkat orang lama". Senjata lama mempunyai nilainya tersendiri, tetapi mungkin lebih kepada objek seni daripada sebilah senjata yang beroperasi. Panjang lagi cerita dari aspek metallurgy mata pedang ni sebenarnya. InsyaAllah saya akan sambung lagi nanti. Wallahu'alam...

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa 2025

  Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa 2025 akan menjadi titik pertemuan bersejarah antara dunia persilatan dan dunia akademik. Pada b...