Assalamualaikum and may peace be upon you…
Alhamdu Lillah pada hari Jumaat ini kita berada di hari
ke-24 bulan Ramadhan 1439H. Pada hari ini juga saya terpanggil untuk
menyuarakan sedikit buah fikiran yang sudah lama terpendam di dalam jiwa ini.
Isu-isu terkini di Malaysia ini sedikit -sebanyak mampu mempengaruhi kehidupan
kita sebagai Muslim lagi Mukmin. Kita sedih melihat anak muda yang kononnya
memperjuangkan hak masing-masing tanpa menghiraukan tatasusila dan adab orang
Melayu Islam… dan mungkin kita terfikir sejenak, di manakah puncanya? Anak muda
(dan yang tak berapa muda) semakin lantang menyuarakan “hak-hak” mereka yang
ada kalanya mereka sendiri tidak memahami atau mengerti maksud sebenar di
sebaliknya. Apakah perjuangan mereka itu suatu yang valid? Apakah ia sesuatu yang dapat membina ummah? Apakah ini yang
mereka ingin anak cucu mereka warisi nanti?
What we do in life,
echoes in eternity… terngiang-ngiang kata-kata General Maximus Decimus
Meridius dalam filem Gladiator sebelum pertempuran antara tentera Rom dan
puak-puak Germanic. Sejarah menilai kita… anak cucu kita menilai kita… yang
paling penting, ALLAH akan menilai kita nanti di atas tindak-tanduk kita hari
ini. Di dalam kekecamukan ini, timbul pula peringatan akan peristiwa 3 Mac 1946
di Sumatera Timur yang telah mengorbankan ribuan nyawa kerabat Di Raja yang
sehingga kini menjadi penyesalan masyarakat setempat. Kita di sini pula semakin
lantang membentak institusi Di Raja Melayu. Saya tidak menafikan ada kekhilafan
yang dilakukan oleh setiap manusia, walaupun yang bergelar Raja atau Sultan.
Itu fitrah manusia. Tetapi tidakkah kita mengambil iktibar daripada keruntuhan
sistem Khalifah (dalam ertikata lain sistem Beraja/Kesultanan) zaman dahulu?
Apa berlaku apabila Khulafa’ Ar-Rashidin runtuh? Begitu juga dengan
kesultanan-kesultanan yang lain?
Istilah “Orang Melayu” asalnya daripada “Rakyat Raja-raja
Melayu”. Melayu itu bukan semata-mata bangsa atau kaum tetapi kerakyatan.
Mereka yang diberi keistimewaan untuk bernaung di bawah Raja-raja Melayu. Di
situlah kekuatan Orang Melayu sebenarnya. Orang Melayu tanpa Rajanya bukanlah
Melayu yang sebenarnya… inilah strategi yang digunakan penjajah daripada zaman
dahulu untuk menjatuhkan Empayar Melayu. Di manakah Orang Melayu tanpa Rajanya?
Adab orang Melayu pantang kurang ajar, walaupun dengan musuh mereka. Inilah
akhlak yang diterapkan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad SalAllah ‘Alaihi
Wasallam. Baginda tidak marah walaupun dibaling batu dan najis, walaupun harta
benda dan tanah dirampas, walaupun syarat-syarat perjanjian yang berat sebelah.
Baginda menguruskan segalanya dengan penuh hikmah.
Pada pandangan saya, ini yang kita kekurangan pada masa
kini. Ilmu hikam atau hikmah. Kebanyakan ulama Melayu lama adalah pengamal dan
penyebar ilmu hikam, sama ada anak murid mereka sedar atau tidak. Marhum Tok
Pulau Manis, Almarhum Haji Mohd Zain Lebai Abdul Rahman, Almarhum Ustaz Haji
Hanafi Haji Ahmad, Almarhum Ustaz Haji Ishak Itam di antara guru-guru yang
membawa ilmu hikam di Tanah Melayu ini. Begitu juga dengan kaedah yang
diamalkan oleh Sunan Kalijaga, salah seorang daripada Wali Songo di Jawa.
Ulama-ulama ini membawa jalan tasawwuf yang menekankan kepada Tauhid dan
Aqidah, sepertimana Rasulullah SAW sendiri menanamkan pegangan Tauhid kepada
para sahabat baginda di Mekah selama 13 tahun. Tauhid yang ditekankan, kemudian
barulah diisi dengan ilmu syariah, jinayat, munakahat dan muamalat. Ini adalah
kerana tanpa Tauhid, ibarat kita membina rumah tanpa dasar. Rukun Islam
dikatakan ibarat tiang rumah (agama) tetapi Tauhid adalah tanah tapak rumah itu
hendak didirikan. Tanpa pegangan Tauhid yang kukuh, ibarat segala amal ibadat
kita tidak berasas…
Pada pendapat saya, di sinilah letaknya kunci kepada
persoalan kenapa amal ibadat kita masih tidak mampu untuk membawa kita kepada
kebaikan? Solat, puasa, zikir, sedekah dan sebagainya tetapi hati kita masih
tidak tenang. Masih melakukan maksiat dan perbuatan-perbuatan yang tidak
berfaedah. Masih tidak redha dengan segala apa yang berlaku dan menerima dengan seikhlas hati bahawa segalanya berlaku dengan izin dan kehendak Tuhan... Ini adalah sekiranya Tuhan hadir di dalam hati seseorang itu, maka
secara automatic orang itu akan terdorong kepada kebaikan, walaupun dia bukan Islam. Begitu juga dengan
golongan Raja-raja Melayu. Anak-anak Raja yang menjadi perwaris takhta perlu
diperkasakan pegangan Tauhid dan Aqidah mereka. Iman itu adalah hak ALLAH dan
DIA mengurniakannya kepada sesiapa yang DIA inginkan. Tetapi bagaimanakah DIA
nak kurniakan iman kepada mereka yang tidak mengenaliNYA?
Tugas dan tanggungjawab ini terletak bukan sahaja pada para
ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah yang mengajar agama dan pendidikan Islam,
tetapi kepada para pembimbing mereka, guru-guru dan pensyarah mereka, murabbi mereka dan semua yang terlibat
di dalam pendidikan secara total, termasuklah juga golongan ibubapa. Jangan diletakkan
segalanya di atas bahu ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah kita. Mereka juga masih
ada yang boleh diperbaiki, insyaAllah.
Perkataan tariqat mungkin akan menakutkan kebanyakan dari kita dan sesetengah anak muda yang mendengar perkataan ini akan terus lari… tetapi di sinilah persepsi kita perlu dibetulkan. Tariq membawa erti “Jalan” atau “Way”. Ianya bukan khusus kepada amalan-amalan zikir dan solat-solat sunat atau tertumpu kepada kumpulan-kumpulan atau zawiyah yang tertentu sahaja. Setiap dari kita ada tariq kita yang tersendiri. Ada yang cenderung ke arah keagamaan, tasawwuf, sains, teknologi, perubatan, perniagaan, keusahawanan, kewangan, kesenian dan sebagainya. Setiap satu daripada tariq ini boleh dan sepatutnya diterapkan dengan elemen-elemen Tauhid dan disebarkan di kalangan ahlinya.
Perkataan tariqat mungkin akan menakutkan kebanyakan dari kita dan sesetengah anak muda yang mendengar perkataan ini akan terus lari… tetapi di sinilah persepsi kita perlu dibetulkan. Tariq membawa erti “Jalan” atau “Way”. Ianya bukan khusus kepada amalan-amalan zikir dan solat-solat sunat atau tertumpu kepada kumpulan-kumpulan atau zawiyah yang tertentu sahaja. Setiap dari kita ada tariq kita yang tersendiri. Ada yang cenderung ke arah keagamaan, tasawwuf, sains, teknologi, perubatan, perniagaan, keusahawanan, kewangan, kesenian dan sebagainya. Setiap satu daripada tariq ini boleh dan sepatutnya diterapkan dengan elemen-elemen Tauhid dan disebarkan di kalangan ahlinya.
Biar jalannya berbeza, tetapi kita kena
pastikan tujuannya adalah SATU. Wallahu’alam…
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.