Assalamualaikum and May Peace Be Upon You...
AlhamduLillah dapat kita bertemu sekali lagi ruangan maya ini. Saya harap para sahabat, rakan-rakan FB dan pembaca sekalian berada di dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Senantiasalah kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas setiap nikmat dan rahmat yang Dia kurniakan kepada kita. Pada peluang kali ini ingin saya berbicara tentang salah satu sunnah Rasulullah SalAllah ‘Alaihi Wasallam yang sering kita sebut tetapi tidak ramai yang mampu atau tahu mengamalkannya… iaitu bermain pedang.
Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim ada menyebut, bahawa Rasulullah SalAllah ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya, “Ajarilah anak-anak kalian memanah, bermain pedang, berenang dan menunggang kuda.” Ramai ulama menafsirkan hadis ini sebagai persediaan untuk akhir zaman, di mana dikatakan pada ketika itu, berlaku suatu peperangan yang amat dahsyat yang telah melenyapkan segala teknologi moden – tiada elektrik dan alat elektronik mahupun mesin atau jentera yang berfungsi pada ketika itu. Manusia akan kembali menggunakan senjata-senjata seperti pedang, tombak, panah dan sebagainya. Pasti ada kebenaran di sebalik tafsiran ini, tetapi berapa ramaikah di antara kita yang mengamalkan sunnah bermain pedang? Jika dilihat dewasa ini, aktiviti memanah sunnah semakin mendapat tempat di Tanah Melayu ini. Walau bagaimanapun, aktiviti berpedang masih amat kurang.
Yang dimaksudkan berpedang di sini bukanlah sukan lawan pedang ala Olimpik yang menggunakan pedang sebesar lidi. Seni pedang anjuran Rasulullah adalah ilmu perang yang menggunakan pedang sebenar. Kepada pengamal seni pedang, perbezaan di antara sukan lawan pedang dan seni bermain pedang amat ketara. Sebilah pedang yang praktikal merupakan senjata pertempuran yang boleh digunakan untuk memotong, menghiris, menetak dan menikam lawan. Ia juga boleh digunakan untuk menangkis serangan lawan. Teknik bermain pedang atau seni pedang ini jauh berbeza daripada sukan lawan pedang yang mementingkan thrust atau tikaman semata-mata untuk mendapatkan markah, walaupun perbezaan tikaman itu adalah hanya beberapa milisaat di antara satu sama lain (yang mana kedua-dua pihak terkena tikaman pedang masing-masing). Dalam keadaan sebenar, kedua-dua individu ini mungkin telah cedera parah atau mati! Objektif seni pedang yang sebenar ialah supaya kita dapat melindungi diri kita daripada serangan musuh dan pada masa yang sama, membalas serangan musuh tanpa dicederakan dengan parah oleh senjata musuh. Namun begitu, tahukah kita bahawa orang Melayu mempunyai seni pedangnya yang tersendiri? Mungkin ramai di antara kita akan bertanya, wujud ke pedang Melayu? Jawapannya, YA.
Jika diperhatikan di dalam alat-alat kebesaran Raja-raja Melayu, pasti terdapat sebilah dua pedang. Namun begitu, pedang Melayu ini jarang dilihat dan seni permainannya juga sudah hampir hilang. Di dalam seni permainan pedang, mata pedang tidak dilagakan seperti permainan parang, sebaliknya pengamal seni pedang menggunakan kaedah “makan gerak” di mana serangan musuh dicantas sebaik sahaja musuh bergerak, tanpa memberi peluang kepada musuh untuk melengkapkan serangannya. Pada zaman Kesultanan Melayu dahulu, pengamal seni pedang dianggap golongan elit kerana penggunaan pedang dihadkan kepada golongan tertentu sahaja. Pedang hanya digunakan oleh Panglima-panglima Di Raja dan Raja itu sendiri. Sebaliknya keris, parang, tombak dan senjata-senjata lain boleh digunakan oleh hampir semua lapisan masyarakat.
Berbalik kepada kenapa Rasulullah menggalakkan permainan pedang, jika dilihat dari aspek latihan, seni pedang melibatkan aspek fizikal dan mental. Ia merupakan satu bentuk latihan psikomotor dan kinestetik yang berkesan. Bermain pedang juga mengasah minda individu itu untuk membuat keputusan di dalam sekelip mata, dan dapat bertindak dengan pantas – kemahiran critical thinking. Seni pedang juga mengajar aspek keberanian untuk menghadapi musuh yang mungkin lebih daripada seorang. Seorang ahli pedang perlu khusyu’ ketika menghadapi lawannya. Latihan yang dijalankan bersama pedangnya boleh membawa kepada sifat khusyu’ di dalam ibadat, contohnya solat. Ia merupakan satu bentuk latihan konsentrasi. Tidak hairanlah kenapa bangsa Jepun begitu memandang tinggi seni pedang mereka. Seni bermain pedang juga merupakan satu latihan untuk mendidik kita bertawakkal, berserah segalanya kepada Allah setelah kita berusaha dan berdoa. Dikatakan para Panglima Di Raja yang menggunakan pedang pada zaman Kesultanan Melayu dahulu melakukan solat sunat dua rakaat sebelum melangkah ke medan perang bersama-sama pedang mereka. Tetapi harus diingat pedang adalah alat peperangan, dan kita tidak dibenarkan untuk bergantung hati kepada alat ini. Segala persediaan dan usaha kita diiringi dengan doa, dan diakhiri dengan tawakkal kepada Allah sebelum menghadapi musuh.
Ini adalah bersesuaian dengan ayat 60, surah Al-Anfaal yang bermaksud,
“Dan hendaklah kamu membuat persediaan apa yang sekuasa-kuasa bagi kamu dari kekuatan…”
Akhir kata, ingin saya menyeru kepada sahabat-sahabat dan rakan-rakan FB sekalian,juga kepada para daie dan pendakwah serta penceramah, jadikanlah sunnah Rasulullah ini sebagai amalan dan bukan sekadar sebutan. Belajarlah dengan berguru kepada yang arif di dalam bidang ilmu itu, dengan kaedah-kaedah yang nyata dan bukan dengan mengamalkan ayat-ayat tertentu yang boleh mengundang kehadiran makhluk ghaib. Bukan dengan mengamalkan wirid atau zikir-zikir tertentu yang membolehkan kita bersilat dengan sendirinya. Seni perang atau martial art ini seharusnya melibatkan pergerakan dua tangan dan dua kaki serta akal yang waras untuk mempertahankan diri. Tiada jalan ringkas untuk mencapai kemahiran di dalam seni perang. Persediaan spiritual hanyalah membersihkan jiwa dan bergantung hati kepada Allah Subhanahu Wata’ala semata-mata.
![]() |
Pedang Rasulullah Al-Qadib |
Nabi Muhammad SalAllah ‘Alaihi Wasallam sendiri memiliki 9 bilah pedang, dan hampir sentiasa berjalan dengan pedang bernama “Al-Qadib” di sisi baginda. Ketika di medan perang, baginda turut mengenakan baju perisai dan topi besi, dan ternyata baginda tidak kebal daripada senjata musuh. Rasulullah telah menunjukkan contoh yang nyata kepada kita sebagai umat baginda. Persediaan yang dimaksudkan adalah dengan latihan fizikal; belajar mengendalikan pedang dengan betul, bagaimana hendak menangkis serangan, bagaimana hendak membalas serangan, dan pelajari adab-adab bersenjata. Bergantung hati hanya kepada Allah dan bukan senjata, ilmu atau makhluk lain. Wabillahi taufiq wah hidayah…