Wednesday, 28 November 2018

Seni Pedang Melayu: Kelestarian Warisan Tanah Jawi part 2

Definisi pedang
Alam Melayu mempunyai kepelbagaian jenis senjata yang amat tinggi. Hampir setiap daerah mempunyai senjata yang unik kepada masyarakat setempat. Penggunaan istilah untuk setiap jenis senjata juga adalah berbeza mengikut lokaliti. Sebagai contoh, kelewang di Kelantan adalah sejenis parang manakala perkataan yang sama di Jawa merujuk kepada pedang. Salah satu objektif kertas kerja ini adalah untuk cuba memberi definisi kepada senjata yang dikenali sebagai pedang dan membezakan pedang dengan senjata tajam berbilah panjang yang lain.
Bagi tujuan kajian ini, klasifikasi pedang akan dibincangkan dengan menggunakan tiga aspek iaitu:
a.Tipologi
b.Saintifik (fizik, kejuruteraan bahan, kimia)
c.Seni Permainan

Tiga aspek ini akan dibahagikan kepada 7 bahagian, iaitu:
a.Rekabentuk Bilah
b.Panjang Bilah
c.Rekabentuk Hulu
d.Titik Perkusi dan Titik Imbangan
e.Jisim
f.Teknik Pembuatan (metallurgy)
g.Teknik Penggunaan dan Aplikasi

Tipologi
Tipologi ialah kajian dan klasifikasi sesuatu objek mengikut rekabentuk dan ciri-ciri fizikalnya. Bagi sebilah pedang, rekabentuk bilah, panjang bilah dan rekabentuk hulu merupakan ciri-ciri utama yang dapat membezakan satu jenis pedang dengan jenis pedang yang lain.

Rekabentuk bilah
Rekabentuk bilah pedang pada amnya adalah menirus ke hujung mata pedang. Bilahnya mungkin lurus atau melengkung dan mungkin mempunyai satu atau dua belah mata yang tajam. Pada dasarnya sebilah pedang perlu boleh memotong dan menikam dengan baik. Oleh itu, mata pedang biasanya direkabentuk untuk memudahkan kedua aksi ini. Pedang ibarat kombinasi antara parang yang digunakan untuk menetak dan keris yang digunakan untuk menikam. Bilah pedang biasanya adalah agak nipis jika dibandingkan dengan parang kerana perbezaan kaedah penggunaan senjata-senjata ini. Bilah pedang Melayu juga ada yang mempunyai alur atau fuller yang dibuat untuk mengurangkan jisim mata pedang tanpa menjejaskan integriti mata pedang tersebut. Hasilnya ialah mata pedang yang ringan tetapi kuat dan mampu menangkis senjata musuh. Ada juga bilah pedang yang menggunakan kaedah hollow grind untuk mencapai kesan yang sama. Pedang yang berkualiti juga mempunyai distal taper di mana bahagian pangkal bilah pedang adalah lebih tebal daripada bahagian hujungnya jika dilihat dari keratan rentas bilah tersebut.

Bahagian pucuk bilah biasanya mempunyai tiga bentuk iaitu bentuk mata lembing atau spear point, turun ke bawah (downward-swept) atau naik ke atas (upward-swept). Rekabentuk yang paling kerap dijumpai ialah pucuk yang naik ke atas atau upward-swept. Ada juga yang mempunyai pucuk bulah yang tidak tajam atau bulat. Terdapat satu rekabentuk yang unik dikenali dengan nama anak buaya atau buaya berenang yang mana sehingga 1/3 bahagian hujung bilah pedang itu lebih lebar daripada bahagian pangkalnya, memberikan bentuk seakan-akan kepala buaya yang sedang berenang. Rekabentuk ini juga terdapat pada sesetengah pedang talwar dari India dan kilij dari Turki. Ia bertujuan untuk memberikan inersia yang lebih ketika memotong. Ada kalanya bahagian belakang mata yang lebar ini juga diasah tajam untuk membolehkan libasan balik dilakukan. Mata pedang yang tirus ke hujung membolehkan tikaman dilakukan dengan mudah dan efektif. Bilah yang agak nipis juga memberikan ketajaman mata yang penting untuk memotong dan menghiris. Bahagian belakang pedang biasanya adalah lebih tebal dan digunakan untuk menangkis serangan senjata lawan.

Bilah pedang juga sering diukir dengan motif-motif tertentu seperti huruf-huruf jawi dan nombor-nombor (wafak), ayat-ayat suci Al-Qur’an, gambar-gambar makhluk dan haiwan serta motif awan larat dan sulur bayung. Ada kalanya ukiran-ukiran ini turut disalut dengan emas, perak atau tembaga. Ukiran-ukiran ini mungkin ukiran timbul (relief) atau ukiran tenggelam (intaglio ) yang dibuat dengan teknik chiselling atau etching. Ukiran-ukiran ini bukan sahaja menambahkan nilai estetik kepada bilah pedang tersebut, malah mempunyai makna yang tertentu bagi pemiliknya.

Panjang bilah
Panjang bilah pedang Melayu biasanya adalah di antara 24-30 inci. Terdapat istilah “selengan”, “selilit kepala” dan sebagainya yang menunjukkan kaedah yang digunakan untuk mengukur bilah mata pedang. Ini adalah kerana kebanyakan senjata Melayu dibuat mengikut ukuran-ukuran tertentu yang dipadankan dengan fizikal pemakainya. Terdapat juga senjata yang menyerupai pedang yang mempunyai panjang lebih daripada 30 inci tetapi biasanya senjata begini dikenali dengan nama parang panjang dan seni permainannya adalah berbeza dengan permainan pedang. Parang panjang adalah sejenis field sword seperti nodachi Jepun atau zweihander Eropah. Senjata yang mempunyai bilah yang kurang daripada 24 inci biasanya dipanggil sebagai golok. Terdapat juga sejenis pedang pendek yang dikenali sebagai sundang Melayu yang mempunyai panjang mata lebih kurang 18 ke 21 inci, berbentuk seperti chunderik atau pedang Makara yang pendek.

Rekabentuk hulu
Pedang Melayu mempunyai kepelbagaian rekabentuk hulu yang tinggi. Pada amnya, terdapat pedang yang digenggam dengan satu tangan dan juga dua tangan. Pedang jenawi mempunyai hulu yang panjang dan boleh digenggam dengan menggunakan dua tangan. Pedang-pedang lain biasanya mempunyai hulu yang lebih pendek yang boleh digenggam dengan sebelah tangan. Bahagian hujung hulu ini biasanya mempunyai ukiran yang halus yang menggambarkan motif tumbuhan atau figura atau corak abstrak. Salah satu motif yang popular ialah motif “Makara” dengan pelbagai variasi, yang membezakan taraf dan status pemakainya. Biasanya pedang Melayu tidak mempunyai pelindung tangan atau guard kerana ini akan mengganggu keseimbangan senjata tersebut. Pedang jenawi mempunyai pelindung tangan asas berbentuk ceper bulat atau empat segi.

Terdapat juga jenis pedang yang dipanggil sebagai “pedang Melayu” atau pedang perisai yang mempunyai pelindung tangan yang dikenali sebagai “D-guard” atau knuckle bow yang ringkas. Bahagian hadapan knuckle bow ini biasanya dibengkokkan ke hadapan untuk menangkis dan menangkap senjata lawan. Sesetangah knuckle bow dibuat agak berbucu supaya boleh digunakan sebagai buku lima. Namun, rekabentuk knuckle bow ini adalah ringkas, bukan seperti pedang barat yang mempunyai pelindung tangan yang lebih kompleks, bersesuaian dengan kaedah permainan pedang mereka. Berdasarkan pemerhatian, knuckle bow seperti ini telah muncul di beberapa kawasan di benua Asia pada masa yang hampir sama.

Hulu pedang Melayu biasanya dipebuat daripada kayu berukir dan ada kalanya disalut dengan logam. Bahan lain yang biasa digunakan adalah tanduk, gading, tulang dan gigi. Kebanyakan hulu pedang Melayu mempunyai temi daripada logam atau bahan lain yang sesuai. Ada juga hulu pedang Melayu yang diperbuat daripada logam. Sesetengah hulu pedang Melayu diikat dengan simpai rotan atau logam. Ada yang dibalut dengan kulit atau fabrik untuk memberi keselesaan kepada pemakainya dan juga untuk menghalang daripada hulu tersebut menjadi licin ketika digunakan. Pedang perisai/pedang Melayu yang mempunyai knuckle bow dan kebanyakan pedang jenawi menggunakan kaedah rat-tailed tang di mana puting mata pedang itu dibentuk sehingga melebihi hujung hulunya dan alur dibuat untuk memasang nat kepada hujung puting tersebut bagi mengemaskan kedudukan mata pedang. Pedang-pedang jenis lain mempunyai puting sekitar 3-4 inci yang digam ke dalam hulu pedang.

Aspek Saintifik
Pembuatan sebilah pedang bukan semata-mata seni, ia juga bergantung kepada beberapa konsep saintifik yang berkait rapat dengan fizik, kejuruteraan bahan dan kimia. Di sini diterangkan secara ringkas beberapa konsep tersebut.

Titik perkusi dan titik imbangan
Titik perkusi atau point of percussion adalah kawasan di mana gegaran paling kurang berlaku ketika bilah pedang mengenai sasarannya. Kawasan ini adalah kawasan yang paling ideal untuk membuat potongan yang baik dan mudah. Titik imbangan atau point of balance pula merupakan titik di mana mata pedang mengimbangi hulunya. Titik ini penting di dalam menentukan kebolehgerakan (manoeuverability) pedang tersebut.

Titik perkusi sebilah pedang biasanya berada sekitar hujung 1/3 bilah pedang tersebut. Titik perkusi sebilah parang biasanya lebih ke hujung bilah mata kerana mata parang adalah lebih berat ke sebelah hujungnya. Titik perkusi sebilah keris pula biasanya berada di tengah-tengah bilah matanya.

Titik imbangan sebilah pedang yang ideal biasanya berada dalam sekitar 4-5 inci daripada hulunya. Jika titik ini terlalu dekat dengan hulu pedang, maka pedang itu akan kekurangan daya memotong. Titik imbangan sebilah keris berada betul-betul di antara mata dan hulunya, di bahagian pendongkok keris. Ini menjadikan keris senjata menikam yang ideal. Titik imbangan sebilah parang pula berada lebih jauh daripada hulunya kerana parang lebih sesuai digunakan untuk menetak dan ia memerlukan mata yang lebih berat dan tebal untuk melakukan pelbagai tugas.

Jisim
Jisim pedang Melayu biasanya adalah kurang daripada 1.5 kg. Ini adalah untuk memudahkan penggunaannya dan meningkatkan kepantasan dan ketangkasan pedang tersebut. Pedang yang mempunyai jisim lebih dari 2 kg akan menjadi terlalu berat untuk digunakan dengan berkesan, khususnya jika pertempuran tersebut berlaku dalam jangkamasa yang lama. Terdapat juga pedang yang mempunyai jisim 4-6 kg tetapi ini adalah kes yang terasing. Pedang-pedang seperti ini dibuat khas untuk pemiliknya yang biasanya mempunyai teknik tersendiri untuk menggunakannya. Biasanya pedang yang mempunyai jisim lebih dari 2 kg ini dibuat khas untuk menetak dan mengambil kesempatan jisim yang lebih itu untuk memberikan kecederaan yang lebih kepada sasarannya. Pedang anak buaya yang mempunyai bilah yang agak tebal dan berat juga biasa dipanggil “parang panjang” dan kaedah penggunaannya lebih mirip kepada kaedah tempur parang daripada seni permainan pedang. Namun begitu, terdapat juga pedang anak buaya yang mempunyai bilah yang agak nipis, bergantung kepada fungsinya.

Teknik pembuatan
Teknik pembuatan bilah pedang menyerupai teknik yang digunakan untuk membuat keris. Besi yang digunakan terdiri daripada campuran beberapa jenis besi yang dapat menghasilkan pamur. “Besi” di sini merujuk kepada campuran logam ferum dengan karbon dan logam-logam lain dalam peratusan yang kecil. Terdapat pedang yang mempunyai teras daripada besi baja (high carbon steel) yang amat keras dan tajam, diapit dengan besi pamur (pattern-welded steel) yang lebih lembut dan kenyal. Besi baja yang terlalu tinggi kandungan karbon akan menghasilkan bilah mata pedang yang rapuh manakala besi yang terlalu sedikit kandungan karbon pula lebih lembut dan tidak dapat mengekalkan ketajamannya. Ada juga pedang yang dihasilkan dengan besi baja semata-mata tetapi teknik sepuhan dan heat treatment yang tertentu menghasilkan mata pedang yang tajam tetapi tidak rapuh. Selain daripada itu, terdapat juga bilah pedang yang diperbuat daripada besi pamur. Parang pula biasanya diperbuat daripada besi baja yang tebal untuk menghasilkan bilah yang tajam tetapi tahan lasak, boleh digunakan untuk pelbagai tugas tetapi agak berat untuk digunakan sebagai senjata. Kaedah pembuatan pedang ini juga menyumbang kepada kosnya yang jauh lebih tinggi berbanding dengan parang.

Satu lagi ciri unik yang menentukan identiti sebilah pedang ialah sarungnya. Sarung pedang dibuat untuk memelihara ketajaman bilah pedang itu. Di dalam seni perang Melayu, sarung senjata juga boleh digunakan sebagai senjata dan perisai. Sarung pedang Melayu biasanya diperbuat daripada kayu keras dan ada kalanya berukir. Sesetengah sarung pedang diikat dengan simpai logam dan dipasangkan tapak logam. Ada juga sarung pedang yang berukir pada bahagian mulut sarungnya seperti sarung tumbuk lada atau badik. Sebilah senjata itu tidak boleh dikatakan sebagai pedang jika ianya tidak mempunyai sarung.

Teknik permainan dan aplikasi
Sesuatu senjata itu direkabentuk untuk tujuan dan teknik permainan yang tertentu. Seni permainan pedang Melayu adalah berbeza daripada seni permainan parang. Sesetengah pengamal seni perang Melayu menakrifkannya sebagai “permainan Laksamana” berbanding dengan “permainan Hulubalang” yang biasa digunakan untuk kaedah permainan parang. Ciri utama di dalam seni permainan pedang Melayu ialah bahagian muka pedang (bahagian mata yang tajam) tidak digunakan untuk menangkis serangan senjata musuh. Ini akan merosakkan mata pedang itu dan mengurangkan keberkesanannya sebagai senjata. Tangkisan hanya dilakukan dengan bahagian belakang mata atau bahagian awak (tepi) mata. Kaedahnya lebih kepada “tangkis dan makan” atau “makan gerak” di mana serangan balas dilakukan sebaik sahaja musuh mula menyerang. Miyamoto Musashi  menakrifkan kaedah ini sebagai “Ai uchi” iaitu to cut the opponent just  as he cuts cuts you atau menyerang musuh sebaik sahaja musuh menyerang. Ini merupakan salah satu rahsia di dalam perguruan kendo Itto Ryu.

Pedang merupakan senjata cut and thrust atau memotong dan menikam. Ia ibarat gabungan antara parang dan keris dari segi fungsi. Walau bagaimanapun, sesetangah pedang lebih sesuai untuk memotong dan sesetengahnya pula lebih sesuai untuk menikam. Tetapi kebanyakan pedang di dalam Alam Melayu adalah sesuai untuk kedua-dua kaedah. Kaedah memotong di dalam seni pedang melibatkan tiga jenis pergerakan iaitu hiris tarik (draw cut), hiris tolak (push cut) dan tetakan (chop cut). Kaedah hiris tarik paling kerap dan paling mudah digunakan. Kaedah tetakan pula hanya digunakan dalam keadaan tertentu seperti untuk melumpuhkan anggota badan musuh yang tertentu seperti mata dan tangan tanpa memutuskan bahagian tersebut atau menyebabkan kecederaan yang parah. Cara pedang itu dipegang dapat menentukan kaedah pemotongan yang berbeza.

Kaedah permainan pedang Melayu amat berseni. Jika diperhatikan spesimen-spesimen pedang Melayu yang terdapat di muzium, jarang sekali kita lihat mata pedang yang sumbing akibat menangkis serangan senjata yang lain. Kaedah ini juga memerlukan masa yang lama dan dedikasi yang tinggi untuk mencapai tahap kemahiran yang sepatutnya. Di dalam perguruan silat yang mempunyai permainan pedang, biasanya hanya penuntut yang mencapai tahap tenaga pengajar atau guru sahaja yang akan didedahkan dengan seni permainan pedang. Ini adalah kerana pengendalian sebilah pedang memerlukan tumpuan dan kemahiran serta keserasian yang tinggi dengan senjata tersebut. Seni permainan pedang juga banyak melibatkan aspek teknikal dan saintifik, dan memerlukan set minda yang berbelainan dengan seni senjata yang lain.

Pedang juga merupakan satu senjata yang mempunyai kelebihan jika dibandingkan dengan senjata-senjata tradisional Melayu yang lain. Sebagai contoh, mata pedang yang lebih panjang daripada sundang atau parang memberi kelebihan kepada pemakai pedang dari segi jarak. Pedang boleh digunakan untuk menikam dan memotong, dan bilahnya yang ringan menjadikannya satu senjata yang amat berbahaya kepada mereka yang dilatih untuk menggunakannya.

Dapat disimpulkan di sini bahawa pedang Melayu ialah sejenis senjata tajam dengan bilah yang diperbuat daripada besi, meruncing ke hujungnya dengan panjang bilah sekitar 18-30 inci dan mempunyai sarung. Senjata menikam dan memotong ini mungkin mempunyai mata yang lurus atau melengkung, dan mungkin mempunyai hulu yang sesuai untuk genggaman satu atau dua belah tangan. Jisim senjata ini biasanya kurang daripada 2 kg. Matanya juga agak ringan dan “pantas”. Kaedah permainannya lebih menumpukan kepada kepantasan dan ketangkasan daripada kekuatan fizikal. Ia juga direkabentuk untuk memotong daging dan tulang, dan bukan untuk menebas kayu dan besi.

Friday, 16 November 2018

Seni Pedang Melayu: Kelestarian Warisan Tanah Jawi part 1

Pedang merupakan antara senjata logam terawal yang dicipta manusia yang hanya mempunyai satu fungsi khusus iaitu untuk pertempuran dan peperangan. Senjata tajam telah menjadi perkakasan utama di dalam peperangan selama ratusan generasi, dan sehingga kini masih lagi mengimbau mimpi ngeri . Sejarah pedang bermula ribuan tahun lalu, dan adalah sinonim dengan perkembangan tamadun manusia. Kebanyakan tamadun telah merekabentuk senjata berupa pedang mereka tersendiri, dan pedang mendapat tempat yang istimewa di dalam kebanyakan budaya di dunia ini. Tamadun-tamadun barat seperti Rom, Yunani dan masyarakat Viking terkenal dengan penggunaan pedang, begitu juga dengan Russia, Turki, Afrika, Arab, Parsi, India hinggalah ke Mongolia, China dan Jepun di timur.

Alam Melayu juga tidak ketinggalan di dalam pembuatan dan penggunaan pedang di dalam peperangan. Kajian oleh S.Q. Fatimi pada tahun 1964 telah membuktikan bahawa terdapat aktiviti perdagangan yang signifikan di antara Tanah Melayu dan Tanah Arab sejak zaman Jahiliyah lagi. Kesimpulan beliau adalah berdasarkan sastera Arab pra-Islam yang sering memuji pedang Al-Hind. Menurut beliau, Al-Hind yang dimaksudkan bukanlah India seperti tanggapan ramai, sebaliknya “kepulauan Hind” iaitu gugusan Kepulauan Tanah Melayu. Di dalam penulisan beliau, didapati bahawa pedang-pedang yang terbaik di tanah Arab pada ketika itu adalah “pedang buatan Qala’ah”. Kajian ini seterusnya menyatakan Qala’ah sebagai “Kelang” di Tanah Melayu. Penyelidikan dan penemuan-penemuan terkini telah mengenalpasti “Qala’ah” sebagai nama lama bagi Kedah Tua.

Ini terbukti dengan penemuan tapak arkeologi Sungai Batu berhampiran dengan Sungai Petani, Kedah pada tahun 2011  yang merupakan pusat pengeluaran besi terbesar di Asia. Ini bermakna sejarah pembuatan pedang keluli (steel) di Tanah Melayu bermula sekitar 2,500 tahun dahulu. Salah satu harta rampasan perang daripada Banu Qaynuqa’ ketika zaman pemerintahan Nabi Muhammad SalAllah ‘Alaihi Wasallam ialah sebilah pedang yang dikenali sebagai Qal’a, pedang buatan Qala’ah yang dipilih oleh Rasulullah sendiri. Ibn Al-Athir diriwayatkan pernah menyatakan bahawa Rasulullah SalAllah ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda, “Pedang kami adalah dari Qala’ah” .

Ciri utama yang menyebabkan pedang dari Qala’ah ini disanjung tinggi oleh Bangsa Arab adalah kerana dikatakan pedang-pedang ini adalah lebih tajam dan mempunyai ketahanan yang tinggi berbanding dengan pedang-pedang buatan negara lain, malah pedang-pedang mereka sendiri. Al-Idrisi menyatakan bahawa orang Qala’ah meleburkan besi mereka dengan besi dari Zanj (Afrika) untuk menghasilkan besi yang berkualiti tinggi dan amat tajam . Teknik yang dimaksudkan di sini adalah teknik “pattern welding” atau pamur yang biasa didapati di kawasan Tanah Melayu dan kepulauan sekitarnya.

Newbold pula menyatakan bahawa pedang kerap dipaparkan di dalam ukiran pada candi purba dan arca batuan di Jawa lebih lama sebelum keris, yang mendapat populariti di dalam abad ke-15 . Pedang juga memainkan peranan penting di dalam adat istiadat istana di Tanah Melayu, khususnya di dalam adat pertabalan Raja atau Sultan Melayu. Gardner pula mencatatkan lebih kurang tujuh belas jenis pedang berbentuk “parang” di dalam kajian beliau.

Setelah kedatangan Islam ke Tanah Melayu, pedang tetap memainkan peranan penting di dalam masyarakat Melayu. Bermain pedang sering dikatakan menjadi salah satu sunnah Rasulullah yang amat baginda galakkan, bersama-sama dengan memanah, berenang dan menunggang kuda . Baginda sendiri memiliki 9 bilah pedang yang diketahui nama-namanya, 6 laras busur panah dan beberapa ekor kuda perang. Namun begitu, mungkin kerana kekangan-kekangan tertentu, seni bermain pedang kurang diamalkan oleh rakyat jelata di Tanah Melayu, sebaliknya penggunaan senjata tajam yang lain seperti parang, keris (termasuk keris sundang) dan lembing diutamakan.

Perkembangan seni perang yang dikenali sebagai silat juga menyumbang kepada keluasan penggunaan senjata-senjata ini dan senjata pendek yang lain. Seni permainan pedang pula terbatas di kalangan golongan bangsawan dan kerabat istana. Faktor-faktor keterbatasan ini akan dibincangkan kemudian.

Bagi tujuan kajian ini, Seni Sukma Kencana telah dijadikan contoh utama di dalam teknik seni permainan pedang Melayu yang ternyata berbeza daripada seni permainan parang. Seni Sukma Kencana ialah seni permainan pedang yang diwarisi oleh keturunan Sheikh Abdul Latif Al-Khalidi yang berasal dari daerah Talu, Sumatera Barat. Menurut salasilah keluarga, keturunan Sheikh Abdul Latif merupakan bangsa Melayu yang bermastautin di Tanah Arab. Mereka terdiri daripada golongan ulama dan pedagang yang tersebar luas di Tanah Melayu. Anakanda Sheikh Abdul Latif iaitu Haji Muhammad Salleh Sheikh Latif merupakan guru agama Istana Johor pada awal abad ke-20. Sheikh Abdul Latif juga dikatakan mempunyai talian kekeluargaan dengan Sheikh Ismail Naqsyabandi Ar-Rawi yang pernah bermastautin di Tanjong Malim, Perak. Masjid Sheikh Ismail atau Masjid Tua Tanjong Malim adalah peninggalan beliau  yang masih dipelihara dan digunakan. Imam Masjid Sheikh Ismail ketika penulisan ini dibuat juga adalah keturunan Sheikh Abdul Latif dari jurai Haji Muhammad Salleh.

Makam Sheikh Abdul Latif dikatakan berada di Ulu Yam, Selangor tetapi telah disembunyikan untuk mencegah aktiviti-aktiviti tahyul dan khurafat yang diamalkan oleh para pengunjung. Dikatakan bahawa Sheikh Abdul Latif dianugerahi karamah yang setaraf atau setanding dengan Sheikh Abdul Rauf Singkel dan mereka daripada aliran tariqat yang sama. Anak cucu Sheikh Abdul Latif sering mendengar kisah di mana ada orang yang ke Mekah berjumpa dengan Sheikh Abdul Latif di sana, tetapi pada masa yang sama beliau ada di Tanah Melayu .

Menantu Sheikh Abdul Latif, Haji Shafie pula digelar “pendekar” di Hulu Bernam, Selangor. Abang Haji Shafie merupakan seorang pandai besi. Haji Shafie dan isteri beliau Hajjah Siti Rafeah Sheikh Abdul Latif dikebumikan di Hulu Bernam dan Haji Muhammad Salleh pula dikebumikan di Endau, Pahang . Hajjah Siti Rafeah merupakan ibunda kepada Hajjah Zainab Haji Shafie, dan Haji Muhammad Salleh pula ayahanda kepada Haji Abdul Majid. Haji Abdul Majid berkahwin dengan Hajjah Zainab (sepupunya) dan mendapat anak lelaki yang dinamakan Haji Hosainel Majidi. Haji Hosainel Majidi berkahwin dengan Hajjah Fatimah Haji Zainal Abidin dan dikurniakan cahaya mata lelaki bernama Haji Muhammad Hanif yang kini menjadi pewaris tunggal Seni Sukma Kencana.
Seni Sukma Kencana diriwayatkan berasal daripada leluhur Sheikh Abdul Latif yang bermastautin di Tanah Arab lebih 1,400 tahun yang lalu. Ini adalah konsisten dengan kajian S.Q. Fatimi pada tahun 1964 yang menyatakan terdapat aktiviti perdagangan dan jaringan perhubungan maritim yang kompleks sebelum kedatangan Islam.

Seni pedang ini dipercayai dibawa ke Tanah Melayu selepas tahun ke-2 Hijrah ketika para bentara Rasulullah SalAllah ‘Alaihi Wasallam bertebaran ke seluruh pelusuk dunia membawa seruan dan ajaran Islam syariat Muhammad kepada manusia. Setelah ratusan tahun berada di Tanah Melayu, ia diwarisi oleh generasi demi generasi sehinggalah sampai kepada Sheikh Abdul Latif dan anakanda beliau Haji Muhammad Salleh. Penggunaan jenis senjatanya juga telah berubah mengikut keperluan dan kesesuaian setempat. Kini, Seni Sukma Kencana menggunakan pedang jenawi sukma yang telah disesuaikan dengan kaedah-kaedah seni pedang ini.

Friday, 12 October 2018

Seni Sukma Kencana - what is it?

Assalamualaikum and may peace be upon you. What is Seni Sukma Kencana? Literally, Seni Sukma Kencana means "The Art of the Golden Spirit". It is a form of Malay martial art that centers around the use of the sword as its primary weapon. It is not just swordsmanship per se, but is actually a system that comprises of seven different arts - sword, keris, sundang, jambiyah, spear, archery and hand-to-hand combat.

As I have stated in my previous article, this Art of the Sword has been in my family for generations, and was brought to Peninsular Malaysia by Sheikh Abdul Latif Al-Khalidi of Talu in the 19th century. I am the 5th generation since Sheikh Abdul Latif to inherit this Art. Presently, the first batch of students are learning the Art of the Sword, which takes about 6 months. However, it may take a lifetime to master the skills of the blade.

What makes Seni Sukma Kencana unique is that it teaches the student to counter an attack directly, without having to evade or retreat. In counterattack, the students are taught to move in close and dispatch their opponent. It applies the principle of makan gerak (or ai uchi in Japanese), which basically means to strike (or cut) just as the enemy strikes you. Timing, speed and precision are very important in Seni Sukma Kencana. One's reflexes need to be as sharp as one's sword.

Another important aspect of Seni Sukma Kencana is the principle of membujur lalu melintang patah. This means to deflect rather than to block. In deflecting an attack, one redirects or diverts the attacker's energy and uses it against them. Wheras when one blocks an attack, they absorb the attacker's energy, which causes opposition. This energy economics is very important in a practical situation, especially when one goes up against multiple opponents.

Seni Sukma Kencana is an Art of Peace. It teaches its students to remain calm in all situations. It applies the concept of 101, in which the proponent is taught to look for 100 alternatives for peace before taking the 1 step to draw the sword. True to Malay tradition, Seni Sukma Kencana puts an emphasis on defense rather than offence. Tactically, it is riskier to attack than to defend.


Thursday, 11 October 2018

Sukma Kencana - My Personal Experience

Assalamualaikum and may peace be upon you.

Seni Sukma Kencana, the Malay Art of the Sword, has been in my family for generations. Oral traditions trace it back to 1,400 years ago in Arabia, brought to the Malay World by those returning to their homeland. Written evidence of this lineage dates back to the 1700s, from my ancestors who resided in the province of Talu, West Sumatra in present-day Indonesia. It was an art passed from father to son, and taught in private to a very select few. Some found their way into the Istana or Royal Palace, while others carried on their daily routines as preachers and scholars of Islam.

I have been instructed in the Art of the Sword since childhood, when my inclination towards edged weapons especially swords, grew naturally. Instinctively, I grew fond of the two-handed katana, not knowing that there existed a Malay counterpart - the jenawi. The jenawi is a Malay two-handed sword with a single edged, rather narrow blade that is somewhat longer than the average Malay sword. It is also the primary weapon of Seni Sukma Kencana. It all began when my late father made me my first "practice" sword - a two-handed bamboo sword - when I was in primary school. Back then, I did not receive formal training, but my lessons came from verbal tips and clues sometimes subliminally imparted upon me. Back then, Seni Sukma Kencana did not have a name. My forefathers simply called it "silat pedang" or "main pedang" (swordplay).

My interest in swords became a passion, and by the time I was 17, I began making my own swords out of metal pipes, hammered flat. By this time, I also had my first jenawi, which my father had bought for me from Kuala Kangsar, Perak. The term "jenawi" was not popular back then, the sellers referred to it as a "samurai" due to its likeness to the katana. The difference being that this jenawi had a rat-tailed tang and was fixed to the hilt with a nut. The blade was a roughly-ground spring steel one, with a four-petaled iron guard. Unfortunately, this sword was lost some time ago.

When I was 18, I started practicing Silat Cekak Malaysia, the Malay martial art. I found learning Silat Cekak was instinctive because I have been taught the same principals and concepts in what was to eventually be known as Seni Sukma Kencana. Even though the school of Silat that I practiced did not involve the use of swords, I maintained my passion for the weapon, and would often practice by myself, recalling what my father had taught me, and what I can remember seeing or hearing what my grandfather used to do. My mother is also instrumental in helping me gain an insight into the lives of my grandfather and great grandfather, and also my great grandmother, whose husband was known as a pendekar or warrior. His brother was a blacksmith in Hulu Bernam, Selangor.

Over the years, I practiced this art in private. Its name was finally revealed to me in 2015, and I began to formulate a proper syllabus for this Art of the Sword. I began teaching my nephew the basics of Seni Sukma Kencana. After referring to the elders, my cousin and I decided to reveal Seni Sukma Kencana to the public. In 2018, the first one-day workshop was held at the Sarang Art Hub in Tanjong Malim, and then a second workshop was held at the Hang Tuah Centre in Melaka, and a third in Sungai Petani, Kedah. After that, we opened the first formal class under the name Akademi Seni Sukma Kencana.

At the same time, I took up my Masters Degree in Malay World Studies at the International Institute for Islamic Thought and Malay Civilization (ISTAC) in Kuala Lumpur. My research centers around the Malay sword, its classification, philosophy and swordplay. I have also presented a paper on Malay swords during the recent Seminar Persenjataan dan Pertahanan dalam Sastera dan Sains Warisan (Seminar on Weaponry and Defence in Literature and Heritage Sciences) held at Universiti Sains Malaysia, Penang. I hope that this exploratory research will pave the way for more studies on the Malay sword and swordsmanship in the future, thus preserving the Art of the Sword.

Tuesday, 26 June 2018

Sunnah Rasulullah


Assalamualaikum and May Peace Be Upon You...

AlhamduLillah dapat kita bertemu sekali lagi ruangan maya ini. Saya harap para sahabat, rakan-rakan FB dan pembaca sekalian berada di dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Senantiasalah kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas setiap nikmat dan rahmat yang Dia kurniakan kepada kita. Pada peluang kali ini ingin saya berbicara tentang salah satu sunnah Rasulullah SalAllah ‘Alaihi Wasallam yang sering kita sebut tetapi tidak ramai yang mampu atau tahu mengamalkannya… iaitu bermain pedang.

Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim ada menyebut, bahawa Rasulullah SalAllah ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya, “Ajarilah anak-anak kalian memanah, bermain pedang, berenang dan menunggang kuda.” Ramai ulama menafsirkan hadis ini sebagai persediaan untuk akhir zaman, di mana dikatakan pada ketika itu, berlaku suatu peperangan yang amat dahsyat yang telah melenyapkan segala teknologi moden – tiada elektrik dan alat elektronik mahupun mesin atau jentera yang berfungsi pada ketika itu. Manusia akan kembali menggunakan senjata-senjata seperti pedang, tombak, panah dan sebagainya. Pasti ada kebenaran di sebalik tafsiran ini, tetapi berapa ramaikah di antara kita yang mengamalkan sunnah bermain pedang? Jika dilihat dewasa ini, aktiviti memanah sunnah semakin mendapat tempat di Tanah Melayu ini. Walau bagaimanapun, aktiviti berpedang masih amat kurang.


Yang dimaksudkan berpedang di sini bukanlah sukan lawan pedang ala Olimpik yang menggunakan pedang sebesar lidi. Seni pedang anjuran Rasulullah adalah ilmu perang yang menggunakan pedang sebenar. Kepada pengamal seni pedang, perbezaan di antara sukan lawan pedang dan seni bermain pedang amat ketara. Sebilah pedang yang praktikal merupakan senjata pertempuran yang boleh digunakan untuk memotong, menghiris, menetak dan menikam lawan. Ia juga boleh digunakan untuk menangkis serangan lawan. Teknik bermain pedang atau seni pedang ini jauh berbeza daripada sukan lawan pedang yang mementingkan thrust atau tikaman semata-mata untuk mendapatkan markah, walaupun perbezaan tikaman itu adalah hanya beberapa milisaat di antara satu sama lain (yang mana kedua-dua pihak terkena tikaman pedang masing-masing). Dalam keadaan sebenar, kedua-dua individu ini mungkin telah cedera parah atau mati! Objektif seni pedang yang sebenar ialah supaya kita dapat melindungi diri kita daripada serangan musuh dan pada masa yang sama, membalas serangan musuh tanpa dicederakan dengan parah oleh senjata musuh. Namun begitu, tahukah kita bahawa orang Melayu mempunyai seni pedangnya yang tersendiri? Mungkin ramai di antara kita akan bertanya, wujud ke pedang Melayu? Jawapannya, YA.


Jika diperhatikan di dalam alat-alat kebesaran Raja-raja Melayu, pasti terdapat sebilah dua pedang. Namun begitu, pedang Melayu ini jarang dilihat dan seni permainannya juga sudah hampir hilang. Di dalam seni permainan pedang, mata pedang tidak dilagakan seperti permainan parang, sebaliknya pengamal seni pedang menggunakan kaedah “makan gerak” di mana serangan musuh dicantas sebaik sahaja musuh bergerak, tanpa memberi peluang kepada musuh untuk melengkapkan serangannya. Pada zaman Kesultanan Melayu dahulu, pengamal seni pedang dianggap golongan elit kerana penggunaan pedang dihadkan kepada golongan tertentu sahaja. Pedang hanya digunakan oleh Panglima-panglima Di Raja dan Raja itu sendiri. Sebaliknya keris, parang, tombak dan senjata-senjata lain boleh digunakan oleh hampir semua lapisan masyarakat.

Berbalik kepada kenapa Rasulullah menggalakkan permainan pedang, jika dilihat dari aspek latihan, seni pedang melibatkan aspek fizikal dan mental. Ia merupakan satu bentuk latihan psikomotor dan kinestetik yang berkesan. Bermain pedang juga mengasah minda individu itu untuk membuat keputusan di dalam sekelip mata, dan dapat bertindak dengan pantas – kemahiran critical thinking. Seni pedang juga mengajar aspek keberanian untuk menghadapi musuh yang mungkin lebih daripada seorang. Seorang ahli pedang perlu khusyu’ ketika menghadapi lawannya. Latihan yang dijalankan bersama pedangnya boleh membawa kepada sifat khusyu’ di dalam ibadat, contohnya solat. Ia merupakan satu bentuk latihan konsentrasi. Tidak hairanlah kenapa bangsa Jepun begitu memandang tinggi seni pedang mereka. Seni bermain pedang juga merupakan satu latihan untuk mendidik kita bertawakkal, berserah segalanya kepada Allah setelah kita berusaha dan berdoa. Dikatakan para Panglima Di Raja yang menggunakan pedang pada zaman Kesultanan Melayu dahulu melakukan solat sunat dua rakaat sebelum melangkah ke medan perang bersama-sama pedang mereka. Tetapi harus diingat pedang adalah alat peperangan, dan kita tidak dibenarkan untuk bergantung hati kepada alat ini. Segala persediaan dan usaha kita diiringi dengan doa, dan diakhiri dengan tawakkal kepada Allah sebelum menghadapi musuh.

Ini adalah bersesuaian dengan ayat 60, surah Al-Anfaal yang bermaksud,

“Dan hendaklah kamu membuat persediaan apa yang sekuasa-kuasa bagi kamu dari kekuatan…”

Akhir kata, ingin saya menyeru kepada sahabat-sahabat dan rakan-rakan FB sekalian,juga kepada para daie dan pendakwah serta penceramah, jadikanlah sunnah Rasulullah ini sebagai amalan dan bukan sekadar sebutan. Belajarlah dengan berguru kepada yang arif di dalam bidang ilmu itu, dengan kaedah-kaedah yang nyata dan bukan dengan mengamalkan ayat-ayat tertentu yang boleh mengundang kehadiran makhluk ghaib. Bukan dengan mengamalkan wirid atau zikir-zikir tertentu yang membolehkan kita bersilat dengan sendirinya. Seni perang atau martial art ini seharusnya melibatkan pergerakan dua tangan dan dua kaki serta akal yang waras untuk mempertahankan diri. Tiada jalan ringkas untuk mencapai kemahiran di dalam seni perang. Persediaan spiritual hanyalah membersihkan jiwa dan bergantung hati kepada Allah Subhanahu Wata’ala semata-mata.

Pedang Rasulullah Al-Qadib

Nabi Muhammad SalAllah ‘Alaihi Wasallam sendiri memiliki 9 bilah pedang, dan hampir sentiasa berjalan dengan pedang bernama “Al-Qadib” di sisi baginda. Ketika di medan perang, baginda turut mengenakan baju perisai dan topi besi, dan ternyata baginda tidak kebal daripada senjata musuh. Rasulullah telah menunjukkan contoh yang nyata kepada kita sebagai umat baginda. Persediaan yang dimaksudkan adalah dengan latihan fizikal; belajar mengendalikan pedang dengan betul, bagaimana hendak menangkis serangan, bagaimana hendak membalas serangan, dan pelajari adab-adab bersenjata. Bergantung hati hanya kepada Allah dan bukan senjata, ilmu atau makhluk lain. Wabillahi taufiq wah hidayah…

Monday, 25 June 2018

Seminar Falsafah dan Tamaddun (SEFATA) 2018


Assalamualaikum and May Peace Be Upon You...

InsyaAllah, Seni Sukma Kencana akan dibentangkan di dalam SEFATA 2018 pada 12 November 2018 ini di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Bersesuaian dengan tema "Memartabatkan Kemanusiaan Melalui Falsafah dan Tamadun", pembentangan bertajuk "Tariqat Pedang: Di sebalik Seni Gerak dan Seni Tampak - Satu Pendekatan Terhadap Praktik dan Falsafah Seni Sukma Kencana".

InsyaAllah, pembentangan ini akan membuka sedikit tabir di sebalik pengertian gerak dan tampak di dalam Seni Sukma Kencana. Seni pedang ini warisan para ulama zaman silam. Ia diasaskan berteraskan prinsip-prinsip Tauhid dan bukan diilhamkan daripada pergerakan haiwan atau alam semulajadi. Peluang untuk membentangkan kertas kerja di salah satu pusat pengajian tinggi tersohor di Malaysia sememangnya tidak boleh dilepaskan. Ini merupakan satu wadah untuk membuka Seni Sukma Kencana kepada ahli akademik sebagai satu jalan supaya ia dapat dikaji dan dibincangkan secara ilmiah.

Selain daripada itu, ini juga merupakan satu wasilah dakwah, bersesuaian dengan istilah "Tariqat Pedang" yang digunakan. Berikut merupakan sebahagian daripada abstrak pembentangan ini:

Namun begitu, kelahiran Seni Sukma Kencana bukanlah hanya semata-mata sebagai ilmu perang Melayu tetapi juga satu wadah untuk berdakwah, satu jalan untuk mengenal diri dan mengenal Tuhan Yang Maha Mencipta. Segalanya daripada penanti, kaedah tangkisan, senjata, prinsip dan logo perguruan Seni Sukma Kencana membawa erti dan makna tersendiri yang menjurus kepada ilmu Tauhid dan pengukuhan Aqidah. Di dalam bahasa Arab, tariq bererti jalan atau wasilah. Maka bagi mereka yang memilih jalan ini untuk mengenali diri mereka supaya dapat mengenal Tuhan mereka, mereka berada di dalam Tariqat Pedang. Pembentangan ini dibahagikan kepada dua komponen utama iaitu Seni Gerak dan Seni Tampak. Seni Gerak adalah pergerakan-pergerakan ilmu pedang itu sendiri dan Seni Tampak pula merujuk kepada pakaian dan perlambangan di dalam Seni Sukma Kencana.

Istilah "Tariqat Pedang" di sini sebenarnya boleh diterjemahkan sebagai The Way of the Sword. Seperti yang telah dijelaskan di dalam abstrak di atas, tariq bermaksud jalan atau way. Seni Sukma Kencana merupakan satu jalan atau wasilah untuk mendekatkan pengamalnya kepada Tuhan Yang Maha Esa, melalui kaedah seni permainan pedangnya. Diharapkan pembentangan ini akan dapat memberi pencerahan kepada erti dan maksud di sebalik seni pedang ini.

Art of the Sword Siri 3/2018


Assalamualaikum and May Peace be upon You...

Bengkel sehari asas pedang (Art of the Sword) kembali lagi, kali ini di Amanjaya, Sungai Petani, Kedah. Bengkel kali ini akan diadakan pada 7 Julai 2018 dari jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang.

Bengkel sehari asas pedang ini akan merangkumi aspek sejarah pedang, sejarah Seni Sukma Kencana, cara-cara mengendalikan sebilah pedang, adab-adab berpedang, latihan-latihan conditioning dan asas berpedang,  penanti Hamzah Satu, kaedah asas tangkisan (Kaedah AHMAD) dan sebahagian daripada buah-buah matapelajaran di dalam Peringkat Umar I.

Bengkel akan disampaikan sendiri oleh Pengasas dan Guru Utama Perguruan Seni Sukma Kencana, Tuan Nara Paduka Hj Muhammad.

Yuran kursus* adalah RM100 seorang dan pedang latihan (kayu), makan tengahari dan sijil penyertaan akan disediakan untuk para peserta yang berjaya menamatkan bengkel ini. Para peserta amat digalakkan berbusana Melayu ketika menyertai bengkel. Sekiranya tiada, pakaian uniform silat atau martial art yang lain boleh dipakai. Bagi mereka yang tiada pakaian seni beladiri, bolehlah menghadirkan diri dengan berpakaian sukan yang sesuai.

Jualan pedang latihan (kayu) juga akan dibuat ketika bengkel ini. Pedang latihan (besi) dan pedang jenawi sukma juga boleh ditempah dengan harga istimewa oleh para peserta bengkel. Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut, sila hubungi Tuan Nara Paduka Hj Muhammad melalui whatsapp di talian 018 979 1019. Tempat adalah terhad, kepada sesiapa yang berminat harap dapat mendaftar dan menjelaskan bayaran yuran kursus dengan segera.

* non-refundable/tidak akan dikembalikan

Sunday, 24 June 2018

13 tahun...

Assalamualaikum and may peace be upon you...

Awaluddin makrifatullah... Awal agama itu adalah mengenal Allah. Ayat ini menunjukkan betapa pentingnya ilmu Tauhid. Sejarah telah membuktikan Rasulullah SalAllah 'Alaihi Wasallam sendiri memperuntukkan lebih daripada separuh masa 23 tahun baginda berdakwah untuk membetulkan, menerapkan dan mengukuhkan aqidah para muslimin. Jika solat dikatakan sebagai Tiang Agama, Tauhid adalah tapak tanah tempat tiang itu dibina.

Tauhid bukan sekadar melafazkan "Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah", tetapi perlu disertakan dengan perlakuan dan iktikad yang sebenar. Lafaz La ila ha illAllah itu perlu difahami dengan sebenar-benarnya. "La" di sini bermaksud "tiada" - tiada sesuatu apa pun yang berkuasa melainkan Allah. Allah adalah segala-galanya. Segalanya datang dari Allah, berlaku dengan kehendak dan izin Allah dan akan kembali kepada Allah...

Kita perlu faham dan yakin bahawa makhluk tidak mempunyai sebarang kuasa untuk berbuat apa-apa sekali pun tanpa izin dan kehendak Allah. Sekiranya kita kata, "Jin itu yang buat aku sakit," atau "makhluk tu yang bagi rezeki pada aku," maka di sini kita telah menduakan Allah. Menduakan Allah adalah perbuatan syirik yang tidak terampun. Syirik seperti ini dikatakan oleh ulama sebagai syirik kahfi atau syirik tersembunyi.

Ada kalanya kita mempertikaikan, kenapa Allah tidak memakbulkan doa kita... sudahkan kita periksa diri kita? Kita mohon doa pada Allah, tapi kita ambil pelaris untuk "memajukan" bisnes kita. Kita mohon doa pada Allah, tapi kita menuntut ilmu kebal dan yakin dengan ilmu itu kita tidak akan cedera. Kita mohon doa pada Allah, tapi masih memperasap dan mencium keris dengan harapan keris itu akan melindungi kita. Kita mohon doa pada Allah, tetapi kita kata boss yang bagi rezeki pada kita... apakah betul perbuatan kita itu?

Berbalik kepada pernyataan saya di awal posting tadi... Makrifatullah bermaksud "mengenal Allah". Ilmu makrifat adalah salah satu dari empat tahap ilmu yang terdiri daripada syariat, tariqat, hakikat dan makrifat. Rukun Islam dan segala hukum-hakam dalam Islam terkandung di dalam syariat. Rukun Iman adalah sebahagian daripada hakikat. Kedua-dua ini perlu seimbang.

Tariqat adalah jalan atau wasilah untuk membersihkan hati, membersihkan jiwa supaya dapat menerima hidayah Allah di dalam usaha untuk mengenalNya. Mengenal Allah itulah yang dimaksudkan dengan makrifat, yang sebenarnya adalah kurnia daripada Allah.

Ilmu makrifat bukanlah kebolehan untuk melihat makhluk ghaib, boleh bertempur dengan makhluk ghaib, kebal, boleh meramal masa hadapan, boleh "tarik barang" dari alam lain dan sebagainya. Itu adalah permainan Jin dan Iblis yang ingin memesongkan Manusia. Janganlah kita terpedaya dengan dakyah palsu ini. Ini bukan makrifat sebaliknya hanyalah apa yang di istilahkan sebagai sakti.

Marilah kita kembali kepada Allah... kenali Allah dengan sebenar-benarnya. Perkuatkan ilmu syariat, tetapi jangan terperangkap di dalam syariat. Carilah jalan (tariq) atau wasilah untuk kita mencapai hakikat keTuhanan yang sebenar. Carilah Tuhan, bukan cari agama semata-mata. Kerana apabila kita mencari Tuhan, kita akan jumpa agama. Syariat tanpa hakikat adalah batal, hakikat tanpa syariat adalah sia-sia.

Kita angkat takbir 17 kali sehari, siapa yang kita sembah? Kepada siapakah kita gantungkan amal ibadat kita? Adakah kita solat untuk mendapatkan pahala dan syurga? Atau solat kita, amalan kita, hidup dan mati kita hanyalah untukNya? Konsep tauhid ini mudah tetapi ramai yang terlepas pandang. Jangan biarkan agama menjadi budaya semata-mata. Buka mata, buka minda, buka hati... intai-intailah ilmu tasawwuf, usuluddin, hikam... tetapi harus berguru dan bukan membaca kitab atau buku semata-mata.

Banyak yang boleh diperkatakan apabila berbicara tentang hakikat keTuhanan... cukuplah sekadar ini dahulu sebagai muqaddimah dan pembuka minda. InsyaAllah... wabillahi taufiq wal hidayah...

Thursday, 21 June 2018

The Sword in Malay Culture

Assalamualaikum and may peace be upon you...

My previous posts have been predominantly published in Bahasa Melayu, but for today, I would like to say a few words in English. Today's post will be a short introduction on the Malay sword. This is a dedicated weapon, and not a multifunction tool. The sword was designed for one purpose only, and that is to cut into an enemy's flesh to inflict damage and disable them. It was not designed to cut bushes or chop firewood, which is the job for its cousin the parang.

The word sword or pedang in Bahasa Melayu, refers to a wide range of edged weapons with blades up to an exceeding 24 inches in length. The steel blade is often made of high-carbon or "spring" steel, whether forged from a single block of metal or pattern-welded. Malay swords often have relatively thin blades with spines and fullers to maintain its blade integrity. More often than not, a pedang has a curved or slightly curved, single-edged blade with a one-handed grip or handle, often lacking a hand guard. Nonetheless, there are examples of straight-bladed swords (which may be double-edged), as are those with basic hand protection and also two-handed grips in existence. Malay swords come in various designs with various names: chenangkas, jenawi, chunderik, sikin, sundang, klewang, parang panjang and pedang just to state a few.

What sets the pedang apart from other edged weapons in the Malay arsenal is the design of its blade. The blade of a pedang usually tapers towards the tip from the base, as opposed to the flaring tip of the parang or machete. As previously mentioned, the blade is usually slightly curved, with fullers running the length of the blade to reduce its weight. There is also usually a thick spine present, to maintain the blade's stiffness and structure. The spine is also used to block the opponent's weapon in combat. Some pedang have a false edge towards the end of the blade. These are usually known as buaya berenang or anak buaya, as the false edge resembles the head of a swimming crocodile. Swords with this type of blade usually have hand guards in the form of a simple knuckle bow and a forward-curved crossguard. Some of these, with longer and heavier blades are often called parang panjang and are dedicated field weapons (not to be confused with the utilitarian parang).

Another defining characteristic of the pedang is the presence of a scabbard, usually made of wood and may be dressed with metal rings and overlays. The presence of the scabbard itself suggests the importance of keeping the edge of the blade sharp and protected, in contrast with the method in which the parang is often kept. This shows that the pedang relies on the sharpness of the blade to be an effective cutting and thrusting weapon, as opposed to the parang as being a chopping tool.

There is also a very short version of the pedang known as the golok which is a general-purpose tool with similar blade profile but at a much more decreased length and is usually under 18 inches long. The golok also generally has a heavier blade and performs basically the same tasks as the parang, although it makes a better cutting tool and is often used to slaughter animals for food. Like the pedang, the golok also has a scabbard. Some forms of silat use the golok as a part of their arsenal due to its cutting and stabbing ability. The short, stiff blade is ideal for slashing and stabbing, especially in close quarters.

A very unique type of "pedang" is the sundang Bugis or keris sundang, also known as the sundang Moro. This is basically an oversized keris designed for slashing and cutting, and is often considered to be in the same classification as a sword. The thin, light blade makes for a very fast weapon, but it rarely exceeds 24 inches in length. The blade may be undulated (berlok) or almost straight, with a distinctive "cockatoo" hilt designed for single-handed use. Such a weapon may have been ideal in maritime warfare, as the Bugis were well-known seafarers of the Malay world. It can be considered as the cutlass of the Malay world, although its usage was more widespread.

Traditionally, the pedang, spear (tombak) and keris are considered to the the Malay's most ancient weapons, with the spear and pedang predating the slightly more recent keris. However, the keris gained popularity in the 12th to 15th centuries and became the symbol of the Malay people thereafter. The tombak remained in the Malay armoury as a field weapon and often used in ceremonies while the pedang seemed to gradually become exclusive to the nobility. Nowadays, the pedang remains part of the Royal Regalia of many Malay Sultanates. However, the skill of wielding the pedang as a weapon is fast becoming a dying art.

It should be noted that fighting with the pedang is not the same as fighting with a parang or golok. In Malay silat, there are two distinct styles of fighting often referred to as Permainan Laksamana and Permainan Hulubalang. "Permainan" can be directly translated as "game" although in the silat context, this word refers to the style, techniques and principles of offence and defence. Permainan Laksamana (literally "Admiral's game") refers to a style of fighting that emphasizes speed and accuracy, while strength and agility are the hallmarks of the Permainan Hulubalang (Warrior's game). Sword fighting in Malay culture is classed as Permainan Laksamana, while parang and golok techniques are often employed in Permainan Hulubalang. Each of these different styles have their unique advantages, and an ancient Malay army employed both styles in their ranks.

An example of a chunderik sword

Saturday, 9 June 2018

Lama ke baru?...

Assalamualaikum and may peace be upon you.

Just a short one this morning... saya sering ditanya mengenai beza antara pedang lama dan pedang yang baru. Ada pihak yang suka mencari pedang dan senjata lama lain untuk dibuat koleksi. Memang tidak dinafikan senjata lama mempunyai daya penariknya yang tersendiri. Hasil seni pengkarya yang mungkin puluhan atau ratusan tahun dahulu sememangnya sukar untuk ditandingi.

Namun begitu, apabila kita berniat untuk menyimpan senjata itu sebagai "pakaian", pada pendapat saya lebih baik kita dapatkan yang baru. Ada 3 faktor yang dapat saya berikan untuk menyokong pernyataan ini.

Pertama, metal fatigue. Pernah tak kita ambil seutas dawai dan kita bengkokkan berulang kali? Apa akan jadi kepada dawai tersebut? Lama kelamaan ia akan putus, kan? Inilah metal fatigue. Logam akan jadi lemah akibat tindakan-tindakan dan daya yang dikenakan terhadapnya, khususnya setelah puluhan ataupun ratusan tahun ia digunakan. Karat dan kecuaian menjaga senjata tersebut juga membantu melemahkan mata senjata tersebut. Amalan sesetengah orang yang sengaja tidak mencuci senjata mereka setelah digunakan sehingga berkarat juga menyumbang kepada metal fatigue.

Saya tidak menafikan ada yang percaya bahawa karat pada senjata itu akan membuatkannya lebih "berbisa". Kepercayaan ini mungkin berasas kerana karat besi sememangnya toksik dan boleh menyebabkan tetanus. Tetapi kesannya bukanlah berlaku serentak. Ia mengambil masa beberapa hari untuk menjangkiti tubuh badan manusia. Ada juga yang mengaitkan faktor-faktor mistik dengan senjata berkarat. Contohnya dengan membiarkan darah musuh pada mata senjata tanpa dicuci. Tindakan ini hanya akan menyebabkan senjata tersebut berkarat dan melemahkan bilah matanya.

Faktor kedua ialah kandungan besi. Senjata lama seringkali ditempa dengan menggunakan teknik pattern welding yang membentuk corak pamur pada bilah mata senjata tersebut. Kaedah ini masih lagi diamalkan sehingga kini di dalam pembuatan senjata tajam yang berkualiti tinggi. Isu di sini adalah besi lama sering mempunyai kandungan bendasing yang tinggi. Kandungan karbon yang terlalu tinggi akan menyebabkan bilah mata menjadi terlalu rapuh dan mudah patah. Berdasarkan pemerhatian saya, biasanya, senjata yang dihasilkan dengan menggunakan teknik pattern welding dalam 100 tahun kebelakangan ini agak kurang kualitinya jika dibandingkan dengan yang lebih lama.

Selain faktor kandungan besi ini, faktor teknik tempaan juga perlu diambilkira. Pattern welding bertujuan untuk mengurangkan bendasing di dalam besi yang digunakan, tetapi jika tidak dilakukan dengan sempurna, boleh meninggalkan lohong atau mikro kaviti di dalam struktur besi tersebut. Ini akan melemahkan struktur dan mencemarkan integriti mata senjata itu.

Faktor ketiga ialah kos. Senjata lama sememangnya mempunyai kos yang tinggi jika dibandingkan dengan yang baru. Jika kita berniat untuk menyimpan senjata itu sebagai koleksi kita, silakanlah. Tetapi jika ia bertujuan sebagai "pakaian", maka lebih baiklah kita dapatkan yang baru. Lebih value for money, sebenarnya.

Jangan biarkan nilai sentimental mempengaruhi keputusan kita untuk membeli senjata lama sebagai "pakaian". Saya sendiri memakai sebilah keris lama bersama busana saya tetapi itu bukanlah sebagai "pakaian". Hanya lebih kepada simbol dan perlambangan dan ada orang kata "nak ambil berkat orang lama". Senjata lama mempunyai nilainya tersendiri, tetapi mungkin lebih kepada objek seni daripada sebilah senjata yang beroperasi. Panjang lagi cerita dari aspek metallurgy mata pedang ni sebenarnya. InsyaAllah saya akan sambung lagi nanti. Wallahu'alam...

Friday, 8 June 2018

Ravers... dan isu-isu lain


Assalamualaikum and may peace be upon you.

Saya sebenarnya tidak mahu menyentuh hal ini, tetapi berita semacam ni asyik dok naik dalam news feed fb saya… mula-mula geli hati, tetapi lama-lama jadi tak senang duduk pulak tengok budak-budak Melayu, generasi muda kita yang baru berusia 13-19 tahun terlentok liuk macam sotong kena candat... Katanya tarian moden, mereka gelarkan rave.

Apakah rave ini sebenarnya? Imbasan sekilas lalu saya jumpa istilah Radical Audio Visual Experience atau boleh diertikan sebagai "Pengalaman Audio Visual yang Radikal". Satu bentuk tarian (?) yang mengikut rentak lagu yang dimainkan, biasanya yang berentak tekno. “Tarian” ini sedang menjadi kegilaan sesetengah remaja di Tanah Melayu ini pada masa kini yang bermula sekitar tahun 1980an dan 1990an ketika mana rave party mula diadakan di barat. Sesetengah pihak berpendapat, “biarkanlah budak-budak ni nak berhibur dan merasa, lama-lama nanti mereka sedarlah.” Tidak kurang juga yang berkata, “kita dulu pun apa kurangnya dengan gaya metal, thrash, punk dan sebagainya?” Ada betulnya apa yang mereka kata. Dan jika difikirkan, budak-budak ini hanya menari (buat masa ini)… apa salahnya, kan?



Isu ini agak sensitive dan saya bukan nak berlagak alim atau warak. Saya sendiri membesar di zaman Metallica, Iron Maiden dan Scorpions. Pernah juga mendengar muzik Yngwie Malmsteen, Guns n Roses dan Epica. Itu belum masuk Nightwish dan Within Temptation. Pada saya, muzik adalah muzik, layan tetap layan tetapi yang paling penting kita tahu batas-batas yang kita perlu jaga. Faham lirik dan senikata lagunya bukan main lalak je tak reti bahasa.

 Bak kata guru, “Jadilah seperti ikan di laut, airnya masin tetapi daging ikan itu tidak masin…”

Berbalik kepada isu ravers ni… remaja perlu melalui pengalaman-pengalaman yang akan mematangkan mereka di dalam kehidupan mereka sebagai dewasa kelak. Namun begitu, guru dan ibubapa seharusnya memainkan peranan untuk membantu mereka mencari identiti diri mereka. Kita orang Melayu Islam, adakah sesuai untuk kita berkelakuan seperti itu? Adakah ianya bersesuaian dengan moral compass  kita sebagai Muslim dan Mukmin?

Terdapat beberapa hadis Rasulullah SalAllah ‘Alaihi Wasallam sendiri yang melarang umat Islam daripada menyerupai kaum bukan Islam. Ibnu Taimiyah juga ada menyebut di dalam kitab Majmu’ Al Fatwa bahawa kelakuan fizikal (lahiriyah) boleh mempengaruhi akhlak dan amalan. Ini juga terbukti di dalam kajian psikologi moden yang mana menyatakan bahawa sesuatu perkara yang kita buat melebihi 40 hari akan menjadi tabiat. 

Seperkara lagi yang perlu kita beri perhatian ialah penggunaan bahasa anak-anak kita sekarang ini. Perkataan-perkataan yang kurang sedap didengar senang sahaja meluncur keluar daripada mulut atau jari-jemari mereka… Bahasa mencerminkan Bangsa. Kalau umur belum cecah 20 tahun tetapi dah pandai memaki hamun, adakah ini yang ingin kita lihat di dalam generasi yang akan menjadi pewaris kita?

Saya tidak berniat mengaibkan mana-mana pihak tetapi seperti sabda Rasulullah SalAllah ‘Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiAllahu’anhu, “Tidaklah seorang bayi yang dilahirkan melainkan dalam keadaan fitrah, maka kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani, atau Musyrik.” Ibubapa memainkan peranan yang amat penting untuk membantu anak-anak mencari dan meneroka siapa diri mereka yang sebenarnya. Di sini sekali lagi ingin saya tegaskan bahawa pegangan Tauhid dan Aqidah yang kukuh amatlah penting. Selain ibubapa, para pendidik perlu menggalas tanggungjawab membentuk anak bangsa kita. Ibubapa perlu berikan kerjasama kepada pihak guru untuk menjalankan tanggungjawab mereka, tugas hakiki mereka.

Jika kita lihat di barat, ramai di antara mereka memilih Islam sebagai jalan hidup mereka. Kenapa? Kerana ramai yang berkata bahawa hidup mereka kosong, tiada arah tuju. Tetapi mereka menemui tujuan hidup mereka di dalam Islam dan dengan mantauhidkan ALLAH Subhanahu Wata’ala. Kita di Tanah Melayu ini pula, sering mengagung-agungkan budaya orang lain dan memperlekehkan budaya nenek moyang kita sendiri. Antara yang paling ketara adalah dari segi pakaian. Ada puak yang menganggap memakai seluar jeans sebagai tidak Islamic dan ada pula yang berkata memakai tanjak dan busana Melayu sebagai tidak Islamic (sila rujuk posting saya sebelum ini mengenai Busana Melayu).

Jadi apakah Islamic  itu sebenarnya? Adakah Islam itu pada pakaian? Memakai jubah dan serban itu adakah Islam? Maaf kata, Yahudi dan Nasrani di Tanah Arab juga memakai jubah dan serban. Itu adalah budaya mereka. Saya bukan hendak menidakkan sunnaturrasul, tetapi pemakaian itu haruslah mengikut kesesuaian setempat dan janganlah kita jadikan sesuatu sunnah itu sebagai sesuatu perkara yang wajib. Dan janganlah pula kita mengharamkan yang halal. Busana Melayu direka dengan sebegitu rupa, ianya amat syariah compliant. Yang penting di sini ialah kesederhanaan.

Anak muda sekarang sudah semakin ketinggalan di dalam mengejar arus kemodenan. Berapa ramai yang kenal apa itu keris? Berapa ramai yang boleh bezakan parang dengan golok? Berapa ramai pula tahu mengikat sampin? Belum lagi yang tahu adab dan adat berbusana. Dan ini baru menyentuh mengenai Budaya Melayu... belum lagi Roh Melayu.

Penjajahan terhadap Orang Melayu kini bukan lagi berbentuk peperangan dan pertempuran bersenjata tetapi menjajahan minda dan jiwa secara halus dan amat terancang. Musuh-musuh kita menggunakan budaya dan agama untuk memesongkan aqidah Orang Melayu. Kalau dahulu nenek moyang kita pantang berbahasa Inggeris kerana menganggap itu bahasa penjajah, kini kita perlu menguasai bahasa Inggeris jika kita ingin benar-benar ingin memahami apakah impak budaya mereka terhadap budaya dan keimanan kita. Guru hikam saya menggalakkan anak muridnya belajar dan menguasai Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab selain Bahasa Melayu. Kenapa? Marilah kita sama-sama kaji dan teliti… wassalam.

Thursday, 7 June 2018

Biar jalannya berbeza...


Assalamualaikum and may peace be upon you…

Alhamdu Lillah pada hari Jumaat ini kita berada di hari ke-24 bulan Ramadhan 1439H. Pada hari ini juga saya terpanggil untuk menyuarakan sedikit buah fikiran yang sudah lama terpendam di dalam jiwa ini. Isu-isu terkini di Malaysia ini sedikit -sebanyak mampu mempengaruhi kehidupan kita sebagai Muslim lagi Mukmin. Kita sedih melihat anak muda yang kononnya memperjuangkan hak masing-masing tanpa menghiraukan tatasusila dan adab orang Melayu Islam… dan mungkin kita terfikir sejenak, di manakah puncanya? Anak muda (dan yang tak berapa muda) semakin lantang menyuarakan “hak-hak” mereka yang ada kalanya mereka sendiri tidak memahami atau mengerti maksud sebenar di sebaliknya. Apakah perjuangan mereka itu suatu yang valid? Apakah ia sesuatu yang dapat membina ummah? Apakah ini yang mereka ingin anak cucu mereka warisi nanti?

What we do in life, echoes in eternity… terngiang-ngiang kata-kata General Maximus Decimus Meridius dalam filem Gladiator sebelum pertempuran antara tentera Rom dan puak-puak Germanic. Sejarah menilai kita… anak cucu kita menilai kita… yang paling penting, ALLAH akan menilai kita nanti di atas tindak-tanduk kita hari ini. Di dalam kekecamukan ini, timbul pula peringatan akan peristiwa 3 Mac 1946 di Sumatera Timur yang telah mengorbankan ribuan nyawa kerabat Di Raja yang sehingga kini menjadi penyesalan masyarakat setempat. Kita di sini pula semakin lantang membentak institusi Di Raja Melayu. Saya tidak menafikan ada kekhilafan yang dilakukan oleh setiap manusia, walaupun yang bergelar Raja atau Sultan. Itu fitrah manusia. Tetapi tidakkah kita mengambil iktibar daripada keruntuhan sistem Khalifah (dalam ertikata lain sistem Beraja/Kesultanan) zaman dahulu? Apa berlaku apabila Khulafa’ Ar-Rashidin runtuh? Begitu juga dengan kesultanan-kesultanan yang lain?

Istilah “Orang Melayu” asalnya daripada “Rakyat Raja-raja Melayu”. Melayu itu bukan semata-mata bangsa atau kaum tetapi kerakyatan. Mereka yang diberi keistimewaan untuk bernaung di bawah Raja-raja Melayu. Di situlah kekuatan Orang Melayu sebenarnya. Orang Melayu tanpa Rajanya bukanlah Melayu yang sebenarnya… inilah strategi yang digunakan penjajah daripada zaman dahulu untuk menjatuhkan Empayar Melayu. Di manakah Orang Melayu tanpa Rajanya? Adab orang Melayu pantang kurang ajar, walaupun dengan musuh mereka. Inilah akhlak yang diterapkan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad SalAllah ‘Alaihi Wasallam. Baginda tidak marah walaupun dibaling batu dan najis, walaupun harta benda dan tanah dirampas, walaupun syarat-syarat perjanjian yang berat sebelah. Baginda menguruskan segalanya dengan penuh hikmah.

Pada pandangan saya, ini yang kita kekurangan pada masa kini. Ilmu hikam atau hikmah. Kebanyakan ulama Melayu lama adalah pengamal dan penyebar ilmu hikam, sama ada anak murid mereka sedar atau tidak. Marhum Tok Pulau Manis, Almarhum Haji Mohd Zain Lebai Abdul Rahman, Almarhum Ustaz Haji Hanafi Haji Ahmad, Almarhum Ustaz Haji Ishak Itam di antara guru-guru yang membawa ilmu hikam di Tanah Melayu ini. Begitu juga dengan kaedah yang diamalkan oleh Sunan Kalijaga, salah seorang daripada Wali Songo di Jawa. Ulama-ulama ini membawa jalan tasawwuf yang menekankan kepada Tauhid dan Aqidah, sepertimana Rasulullah SAW sendiri menanamkan pegangan Tauhid kepada para sahabat baginda di Mekah selama 13 tahun. Tauhid yang ditekankan, kemudian barulah diisi dengan ilmu syariah, jinayat, munakahat dan muamalat. Ini adalah kerana tanpa Tauhid, ibarat kita membina rumah tanpa dasar. Rukun Islam dikatakan ibarat tiang rumah (agama) tetapi Tauhid adalah tanah tapak rumah itu hendak didirikan. Tanpa pegangan Tauhid yang kukuh, ibarat segala amal ibadat kita tidak berasas…

Pada pendapat saya, di sinilah letaknya kunci kepada persoalan kenapa amal ibadat kita masih tidak mampu untuk membawa kita kepada kebaikan? Solat, puasa, zikir, sedekah dan sebagainya tetapi hati kita masih tidak tenang. Masih melakukan maksiat dan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah. Masih tidak redha dengan segala apa yang berlaku dan menerima dengan seikhlas hati bahawa segalanya berlaku dengan izin dan kehendak Tuhan... Ini adalah sekiranya Tuhan hadir di dalam hati seseorang itu, maka secara automatic orang itu akan terdorong kepada kebaikan, walaupun dia bukan Islam. Begitu juga dengan golongan Raja-raja Melayu. Anak-anak Raja yang menjadi perwaris takhta perlu diperkasakan pegangan Tauhid dan Aqidah mereka. Iman itu adalah hak ALLAH dan DIA mengurniakannya kepada sesiapa yang DIA inginkan. Tetapi bagaimanakah DIA nak kurniakan iman kepada mereka yang tidak mengenaliNYA?

Tugas dan tanggungjawab ini terletak bukan sahaja pada para ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah yang mengajar agama dan pendidikan Islam, tetapi kepada para pembimbing mereka, guru-guru dan pensyarah mereka, murabbi mereka dan semua yang terlibat di dalam pendidikan secara total, termasuklah juga golongan ibubapa. Jangan diletakkan segalanya di atas bahu ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah kita. Mereka juga masih ada yang boleh diperbaiki, insyaAllah.

Perkataan tariqat mungkin akan menakutkan kebanyakan dari kita dan sesetengah anak muda yang mendengar perkataan ini akan terus lari… tetapi di sinilah persepsi kita perlu dibetulkan. Tariq membawa erti “Jalan” atau “Way”. Ianya bukan khusus kepada amalan-amalan zikir dan solat-solat sunat atau tertumpu kepada kumpulan-kumpulan atau zawiyah yang tertentu sahaja. Setiap dari kita ada tariq kita yang tersendiri. Ada yang cenderung ke arah keagamaan, tasawwuf, sains, teknologi, perubatan, perniagaan, keusahawanan, kewangan, kesenian dan sebagainya. Setiap satu daripada tariq ini boleh dan sepatutnya diterapkan dengan elemen-elemen Tauhid dan disebarkan di kalangan ahlinya. 

Biar jalannya berbeza, tetapi kita kena pastikan tujuannya adalah SATU. Wallahu’alam…


#wayofthesword #tariqatpedang

Sunday, 3 June 2018

Busana Melayu

ُالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

"Syarat pertama busana Melayu itu hendaklah pantang membuka aurat. Sesiapa memakai tetap terbuka aurat, tandanya imannya sudah berkarat. Tanda orangnya tidak semenggah, berkain baju berdedah-dedah. Barang siapa memakai singkap-menyingkap, tanda dirinya tidak beradab. Alat Melayu jati, berkain baju berhati-hati."

"Syarat kedua busana Melayu itu pantang kainnya nipis, apabila berkain baju tipis, di situlah tempat setan dan iblis. Apabila memakai baju terlalu jarang, malu tiada aib pun hilang. Sesiapa memakai pakaian yang tembus mata, tanda dirinya dalam nista."

“Syarat ketiga busana Melayu itu mestilah pantang ia berpotongan yang ketat. Tidak boleh sama sekali menampak lekuk atau liku di tubuh. Ingatlah apabila memakai ketat-ketat, agama hilang binasa adat. Barang siapa berbaju sempit, imannya malap jiwanya sakit. Ingatlah Anakanda Muhammad, tanda Melayu memegang adat pantang ia berbaju ketat. Tanda orang beriman teguh pakaian sempit memang dijauh”

“Itulah, yang hendak ayahanda menyatakan tentang syarat keempat busana Melayu. Pantang ia mengada-ada. Membuat baju harus sejudu, jangan suka tiru-meniru, supaya tak hilang maruah Melayu. Apabila memakai tahukan diri, supaya tak lupa diri sendiri, kala memakai elok menurut adat kelak tidak membawa mudarat. Ingatlah, jika memakai elok menutupi badan, supaya tidak disusupi setan”

“Syarat yang kelima busana Melayu itu dilarang sekali memandai-mandai. Kerana apabila berpakaian memandai-mandai, aib tersingkap malu terburai... Syarat kelima itu bukan untuk membataskan kepandaian orang Melayu, tetapi untuk menjaga busana dan gaya kita kelak agar tidak sampai terlerai dari pokoknya, tunjangnya ayat yang kubacakan tadi. Pakaian Melayu itu, anakanda, harus ada akar. Akar itu makna. Makna itu ada dua, makna lahir dan juga makna batinnya.”

“Ya, agar busana Melayu tidak diikuti di seluuh dunia hanya pada gaya dan fesyen, bahkan pada prinsip dan falsafahnya … bahawa pakaian itu pelindung malu, petunjuk budi dan adab. Busana Melayu akan menjadi senjata keamanan sejagat!”

Faisal Tehrani, Manikam Kalbu, 2007, DBP.
Pemenang (tempat pertama) Sayembara Mengarang Sempena Perayaan JUBLI EMAS DBP.

Tuesday, 29 May 2018

Seminar Serantau Persenjataan dan Pertahanan dalam Sastera dan Sains Warisan

Assalamualaikum and may peace be upon you. Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang akan mengadakan satu seminar bertajuk Seminar Serantau Persenjataan dan Pertahanan dalam Sastera dan Sains Warisan pada 3 Oktober 2018 bertempat di Dewan Persidangan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan.

InsyaAllah saya akan membentangkan kertas kerja bertajuk "Seni Pedang Melayu dengan fokus kepada Seni Sukma Kencana" untuk memperkenalkan seni pedang Melayu ini kepada masyarakat umum.

Ini merupakan satu langkah yang penting bagi sebuah perguruan seni perang Melayu untuk diperkenalkan dan diiktiraf secara akademik di salam sebuah universiti tersohor di Malaysia. Ia juga akan menyumbang kepada keterdapatan kajian dan makalah mengenai pedang Melayu dan harapnya ini akan menjadi pencetus kepada kajian-kajian akan datang berkaitan pedang Melayu.

Friday, 25 May 2018

Seni Sukma Kencana

Assalamulaikum and may peace be upon you... alhamdu Lillah kita sudah berada di 1/3 Ramadhan 1439H. Ingin saya maklumkan di sini bahawa bulan Ramadhan ini juga sebenarnya telah menjadi saksi kelahiran seni pedang yang kini dikenali sebagai Seni Sukma Kencana. Kisah lisan yang disampaikan dari generasi ke generasi menceritakan bagaimana seni ini telah dibawa oleh pewarisnya yang berketurunan Melayu daripada Tanah Arab pulang ke Tanah Melayu seterusnya diwarisi pula oleh keturunan yang menjadi da'ie menyebarkan Agama Allah di Nusantara ini.

Dikhabarkan seni pedang ini adalah warisan daripada Sheikh Abdul Latif Al-Khalidi dan anakanda beliau Haji Muhammad Salleh Sheikh Abdul Latif. Pada mulanya ianya tidak tersebar secara meluas. Hanya digunakan ketika waktu darurat dan kecemasan. Sistem pembelajarannya ringkas dan dapat dipelajari dalam masa yang singkat. Seni permainan pedang ini terpendam di dalam keluarga keturunan Sheikh Abdul Latif sehinggalah generasi kelima Sheikh Abdul Latif iaitu Nara Paduka Haji Muhammad mengambil inisiatif untuk merangka semula sistem permainan pedang ini dan menamakannya Seni Sukma Kencana pada tahun 2018M bersamaan 1439H.

Permainan pedang ini terbahagi kepada dua bahagian yang berasal dari dua penanti serangan yang berbeza iaitu menanti serangan dengan pedang terhunus (Penanti Hamzah Satu) dan menanti serangan dengan pedang masih tersarung (Penanti Hamzah Dua). Penuntut akan mula diajar asas permainan pedang ini daripada Penanti Hamzah Satu. Dari situ, terbitlah Kaedah Ahmad (alif, ha, mim, dal) yang merupakan 4 tangkisan asas dalam Seni Sukma Kencana. Kaedah Ahmad seterusnya akan dikembangkan kepada 11 buah yang dikenali sebagai peringkat Umar I.

Seterusnya para penuntut akan belajar Penanti Hamzah Dua di mana mereka akan menangkis serangan daripada keadaan pedang masih di dalam sarungnya. Di dalam Penanti Hamzah Dua, para penuntut akan belajar untuk membiasakan diri (familiarise) dengan senjata masing-masing iaitu pedang Jenawi Sukma. Daripada Penanti Hamzah Dua ini terbit peringkat yang dipanggil Umar II. Peringkat ini turut melibatkan gabungan daripada matapelajaran dalam Umar I.

Setelah tamat mempelajari peringkat Umar II maka penuntut dianggap sudah memenuhi syarat mempelajari sistem pelajaran Seni Sukma Kencana. Mereka yang ingin melanjutkan pembelajaran boleh meneruskan latihan ke peringkat Uthman, iaitu permainan pedang berperisai. Mereka yang menamatkan peringkat Uthman boleh menjadi tenaga pengajar Seni Sukma Kencana dengan izin dan tauliah Majlis Perguruan.

Begitulah sedikit sebanyak mengenai sistem Seni Sukma Kencana, seni pemainan pedang Melayu warisan Sheikh Abdul Latif Al-Khalidi.

Wednesday, 16 May 2018

Salam Ramadhan

Assalamu'alaikum and may peace be upon you. Just a short post wish all of our readers Ramadhan Kareem and Selamat Menjalankan Ibadah Puasa tahun 2018M/1439H.

Sekadar peringatan buat diri sendiri dan saudara-saudaraku...

Niat Puasa Di Bulan Ramadhan

Kita digalakkan untuk berniat puasa sebulan penuh sekiranya kita terlupa untuk berniat puasa setiap hari. Namun sbg pengikut Mahzab Syafie, diwajibkan berniat puasa Ramadhan setiap hari.

Niat Puasa Sebulan Penuh:

نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كُلِّهِ هَذِهِ السَّنَةِ لِلِه تَعَالَى

"Sahajaku Berpuasa Sebulan Penuh Dibulan Ramadhan Pada Tahun Ini Fardhu Kerana Allah Ta'ala."

Niat Puasa Setiap Harinya:

نـَوَيْتُ صَوْمَ غـَدٍ عَـنْ ا َدَاءِ فـَرْضِ شـَهْرِ رَمـَضَانَ هـَذِهِ السَّـنـَةِ لِلـّهِ تـَعَالىَ

"Sahajaku Berpuasa Esok Hari Dibulan Ramadhan Pada Tahun Ini Fardhu Kerana Allah Ta'ala."

Harus kita ketahui bahawa niat itu sebenarnya terletak di hati dan bukan di lidah. Yang di lidah (lisan) itu adalah lafaz bukan niat.

Semoga dengan peringatan ini amalan kita diterima dan diredhai oleh Nya... insyaAllah...

Monday, 23 April 2018

Sudah terhantuk baru terngadah...

Assalamualaikum and May Peace Be Upon You...

Sudah terhantuk baru terngadah... satu ungkapan yang merupakan satu amaran supaya kita berjaga-jaga dan membuat persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Bangsa Melayu merupakan satu bangsa yang agung suatu masa dahulu. Bangsa yang disegani bangsa-bangsa lain. Bangsa yang kaya dengan ilmu, budaya dan juga material. Namun begitu bangsa ini menghadapi cabaran demi cabaran, serangan demi serangan sama ada dari luar mahupun dari dalam. Lama-kelamaan segala ilmu, budaya dan harta Bangsa Melayu semakin hilang ditelan arus zaman.

Tanyalah masyarakat Melayu kini, berapa orang yang belajar silat? Berapa orang yang boleh membaca dan menulis dalam Jawi? Berapa orang yang boleh menganyam ketupat? Berapa orang yang tahu apa itu keris dan apa signifikannya dalam Budaya Melayu? Berapa orang tahu cara sebenar mengikat sampin? Itu belum lagi ditanya, ada parang di rumah? Memang benar kata seorang tokoh politik dahulu, "Melayu Mudah Lupa"...

Melayu lupa di dalam kesenangan hidup kontemporari... leka dengan laman sosial, leka dengan handphone dan internet, leka dengan online games dan sebagainya. Bila ditanya mengenai silat, mereka kata sekarang orang pakai pistol, tak main la silat silat ni. Satu jawapan yang tak masuk akal sebenarnya tapi itulah yang cuba dan berjaya ditanamkan oleh pihak orientalis Barat. Melayu sekarang sudah hilang identiti Melayunya. Hanya Melayu pada kad pengenalan, nama pun dah ramai yang tak Melayu. Guru pernah berkata, Orang Melayu ni lebih Mat Salleh dari Mat Salleh...

Di satu lagi hujung spektrum keasyikan Bangsa Melayu di dalam lenanya, terdapat pula golongan-golongan yang kononnya Islamic. Segalanya hendak diharamkan sampai semua tak boleh buat. Itu bid'ah, ini haram... baru belajar sedikit sudah menjulang ekor tinggi ke langit. Pakai Baju Melayu itu tidak Islamic. Kena pakai jubah dan serban, barulah Islam. Mintak maaf bang, hadis mana kau pakai ni? Kitab mana kau cedok ni? Dalam Al-Qur'an hanya menyuruh mereka yang beriman untuk menutup aurat, tidak pulak dinyatakan bagaimana. Itu baru bab pakaian, belum lagi bab fahaman, amal ibadat, pergaulan... tak payah lah bawak fahaman Pak Wahab, bang... kata nak berjuang, nak berjihad, tapi pegang pedang pun tak tahu... jangan jadi keyboard warrior je...

Pada saya, tidak salah untuk kita mengenakan seluar jeans dan t-shirt asalkan menutup apa yang patut di tutup dan kelihatan kemas sesuai dengan kedudukan kita sebagai orang Islam, orang Melayu. Juga biarlah sesuai dengan majlis yang kita hadiri. Nak bercakap Bahasa Inggeris ke, Bahasa Arab ke, Bahasa Russia sekali pun, silakan... tapi Bahasa Melayu jangan ditinggalkan. Adab dan adat Melayu tu jaga lah... kalau tak tahu, belajar lah. Orang Melayu ni penuh dengan kesederhanaan di sebalik ketinggian Budi dan Pekerti. Kehalusan Budaya Melayu itu penuh dengan isyarat.

Melayu sering leka di dalam comfort zone masing-masing... janganlah sampai masa nak perang baru nak ketuk besi buat parang... kalau sempat buat parang tu pun, kalau takde ilmu nak gunakan parang tu, tak guna jugak... Rasulullah SAW menyarankan kita belajar memanah, bermain pedang dan berkuda bukan sebab nak cari gaduh dengan orang lain tapi sebagai persediaan. Dalam surah Al-Anfal ayat 60 Allah berfirman,

"Dan hendaklah kamu membuat persediaan apa yang sekuasa-kuasa bagi kamu dari kekuatan..."

Berdasarkan ayat itu jugalah hamba yang hina ini terpanggil untuk menyusun semula satu sistem ilmu pedang warisan nenek moyangnya 1,400 tahun yang lampau. Satu kaedah beladiri yang menggunakan pedang sebagai senjata utamanya. Sistem ini berbeza daripada apa yang biasa dilihat sebelum ini. Jika hendak disebut, permainannya Permainan Laksamana bukan Permainan Hulubalang. Tapaknya tapak dua. Seni yang namanya sudah hilang ditelan zaman ini dilahirkan semula dan diberi nafas baru, dan kini dikenali sebagai Seni Sukma Kencana.


Tuesday, 17 April 2018

Kursus Sehari Asas Seni Pedang

Assalamualaikum and may Peace be upon you...

InsyaAllah, Seni Sukma Kencana akan mengadakan dua bengkel sehari asas seni pedang Sukma Kencana di dua lokasi yang berbeza iaitu di Tanjong Malim, Perak dan juga di Hang Tuah Centre, Melaka. Bengkel asas ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat umum mengenai seni pedang Sukma Kencana. Seni Sukma Kencana merupakan satu sistem seni beladiri Melayu berasaskan seni pedang yang bebas daripada tahyul dan khurafat. Seni pedang ini merupakan warisan daripada keturunan Sheikh Abdul Latif Al-Khalidi Talu. Ia juga merupakan satu usaha untuk menggalakkan aktiviti sunnah di kalangan masyarakat Melayu.

Peserta bengkel akan didedahkan dengan adab atau etika berpedang, cara memegang pedang, bahagian-bahagian pedang, teknik-teknik asas seni pedang dan kaedah asas di dalam Seni Pedang Sukma Kencana. Bengkel ini juga akan memberi pendedahan mengenai teknik-teknik asas pedang luar negara sebagai perbandingan.

Seni bermain pedang dapat menanamkan disiplin di kalangan pengamalnya kerana pedang merupakan senjata yang memerlukan konsentrasi dan kemahiran yang tinggi untuk mengendalikannya dengan berkesan dan selamat. Ia merupakan satu latihan kinestetik dan psikomotor dan juga dapat mengasah tindakbalas refleks kepada pengamalnya.

Para peserta dikenakan yuran bengkel sebanyak RM100 yang boleh dibayar melalui online untuk menempah tempat di dalam bengkel ini kerana tempat adalah terhad bagi setiap sesi. Peserta akan dibekalkan dengan sebilah pedang latihan, sijil penyertaan dan makan tengahari juga akan disediakan oleh pihak penganjur. Pedang latihan boleh dibeli dengan harga istimewa bagi peserta bengkel. Pemakaian busana Melayu amatlah digalakkan ketika bengkel berlangsung.

Mereka yang berminat boleh menghubungi saya melalui whatsapp di 018 979 1019 atau boleh berhubung dengan pihak Seni Sukma Kencana di page Facebook Seni Sukma Kencana @senisukmakencana. Bengkel di Tanjong Malim dijalankan dengan kerjasama tuan Mamat Khalid dan Sarang Art Hub, manakala kerjasama bersama Dr RA Huzaifah dan PERANTARA akan menjayakan bengkel di Hang Tuah Centre, Melaka.



Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa 2025

  Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa 2025 akan menjadi titik pertemuan bersejarah antara dunia persilatan dan dunia akademik. Pada b...